Posted on

Destini Cinta – Bab 1

Sungguh asyik sekali pada pagi itu, menelentangkan badan di atas katil empuk dengan diselimuti kain selimut yang sungguh tebal dan lembut, membuatkan tubuhku sangat selesa.

Dibuai mimpi indah yang jarang sekali aku amati selama ini. Apa salahnya aku mengambil masa untuk tidur buat seketika pada waktu cuti yang tidak perlu melakukan apa-apa, termasuklah pergi ke kolej.

“Kring!”

Jam yang terletak di sebelah katilku berbunyi dengan nyaring sekali secara tiba-tiba sehingga mengejutkan aku daripada tidur yang nyenyak. Tanganku mula menyentuh mata yang masih tertutup.

Sungguh berat sekali untuk melihat dunia apabila sudah tidur seharian di dalam bilik dan bergelumang di dalam gelap terlalu lama. Tanganku dengan pantas mencapai jam loceng yang berada di atas meja sebelah katil, lantas menekan butang berhenti daripada terus berbunyi.

Kemudian, aku menggosokkan mata beberapa kali sehingga terbuka, melihat keadaan sekeliling bilik tidurku. Mataku terkebil-kebil, sementara kepalaku menoleh ke arah kanan menghadap meja di sebelah katil. Terpapar jelas kalendar di atas meja itu.

Ya, memang benar, ia menunjukkan hari ini adalah hari cuti, tetapi kenapa jam loceng masih aku kunci sebelum tidur malam tadi. Ah, fikiran aku sudah mulai kusut kerana sikap aku yang acuh tak acuh itu.

“Hari ini kan cuti. Kenapa jam ni berbunyi? Argh!” Rungut aku yang tak pernah henti.

“Azrul, mari turun sarapan!” Teriak mama dengan lantang sekali. Mama seperti sudah tahu keadaanku yang sudah bangun daripada tidur.

Aku menganggukkan kepala selepas mendengar jeritan mama yang kuat dari arah dapur. Perasaan malasku tadi bertukar menjadi lebih semangat apabila mama memanggilku untuk bersarapan.

Aku tersenyum sendirian, mama memang suka menggembirakan hatiku dengan masakan yang sangat sedap. Tak pernah aku terlepas daripada merasa masakan mama walau satu pun.

Aku menyelak selimut yang menutup kakiku, dingin sekali apabila ia terbuka luas sehingga menampakkan seluar pendek yang aku pakai semalaman. Menggigil tubuhku kerana kesejukan yang teramat sangat pada pagi itu.

Kemudian, aku bangun dengan perlahan sekali. Secara tiba-tiba kepalaku pening, pandanganku kelam seperti orang buta. Belum sempat bangun sepenuhnya, aku terbaring buat seketika untuk menghilangkan rasa pitam itu.

Sebaik sahaja rasa pitam itu hilang, aku cuba bangun daripada perbaringan tadi. Aku menjejakkan kakiku satu-persatu ke atas lantai yang berjubin sejuk dan tersentak seketika apabila kakiku sudah mula menyentuh lantai. Bagai terkena renjatan elektrik, mukaku berkerut seribu kerana tidak tahan akan rasa dingin yang datang daripada jubin itu.

“Argh, apa yang sejuk sangat ni? Selalunya tak macam ni.” Aku bingung seketika ketika membuka langkah untuk keluar bilik.

“Azrul! Cepat…” Teriak mama sekali lagi.

“Ya mama, sekejap, Azrul nak bergerak dari tempat tidur ni dulu.”

Secara tiba-tiba, lampu bilik air terbuka dengan sendirinya. Aku terperanjat kemudian menjadi kaku dan diselubungi perasaan yang penuh dengan kehairanan. Tanganku belum menyentuh suis lampu tersebut, tetapi lampu itu terbuka dengan sendirinya. Aku tersenyum sendirian lagi.

“Ajaib sungguh pagi-pagi ni, ditambah lagi dengan kepala aku yang pening.”

Kemudian, kakiku mula melangkah menuju ke pintu bilik air. Melihat keadaan sekeliling, mencari punca terbukanya lampu tersebut. Namun, gagal kerana tiada satu tubuh pun  yang berada di situ. Aku menggelengkan kepala.

“Ini tidak mungkin.”

Lampu tersebut seperti dimainkan oleh seseorang pada fikiranku. Terbuka dan terpadam. Bukan sekali malah dua, tiga kali ia menyala dengan sendirinya. Ah, mungkin juga aku sering berhalusinasi.

Darahku sudah mula menyirap ke seluruh badan, bagaikan disimbah air panas yang baru sahaja dijerang. Ingin sahaja aku mengamuk di ruangan bilik itu, namun tidak kesampaian apabila muncul satu suara yang datang entah dari mana.

“Cinta akan susah datang jika bermalasan.” Ujar suara ghaib tersebut.

“Kau siapa? Kau nak main-main denganku? Aku tak akan pernah takut akan suara kau yang garau tu.” Lagakku angkuh. Kemudian, aku memegang suis lampu dengan erat sekali supaya tidak berlaku seperti tadi.

Lama-kelamaan, lampu tersebut tidak dimainkan lagi. Aku sungguh lega. Beberapa keluhan aku lepaskan ke ruangan bilik air yang masih kering tanpa dibasahi air mandian. Terasa sungguh sejuk sehingga tengkukku sendiri yang terasa suhu dinginnya. Kadangkala, aku mengusap lenganku hingga ke siku dengan asyiknya, kemudian tanganku merayap ke kepala dan mengurutnya secara perlahan kerana pening yang masih tidak hilang lagi. Aku memejamkan mata seketika.

Jelas kedengaran bunyi air yang mengalir. Selepas memejamkan mata buat seketika sambil melayan urutan di kepala dengan tangan sendiri, aku hanya melihat air yang mengalir di dalam bilik air itu. Tiba-tiba, paip air yang tidak disentuh oleh sesiapa, mengeluarkan air dengan sendirinya.

Aku bingung dan menggaru kepala yang tidak gatal. Banyak persoalan yang bermain dibenak fikiranku. Yang tadi lampu, yang ini air pula. Mungkin juga suara ghaib itu yang melakukannya tanpa aku sedar ketika melayan urutan di kepala. Dan mungkin juga tidak.

“Buat apa lagi tu, Azrul!” Jerit mama lagi yang tidak putus-putus sewaktu aku berada di situasi yang membingungkan.

Aku tersentak seketika dengan panggilan mama yang tak pernah henti. Aku mengeluh panjang.

“Sekejap, mama.” Jawabku bersahaja dan menghampiri pili air itu.

Aku bergegas menuju ke pili air dan cuba memusingkan pili air itu sehingga tiada titisan air yang akan keluar. Pada masa yang sama juga, aku berasa hairan kerana pusingan pili tersebut tidak berjaya dilakukan.

Apa yang peliknya apabila air yang mengalir tadi tidak membasahkan lantai bilik air itu. Kemudian, aku mengetuk pili tersebut seakan-akan marah dengan perbuatan seseorang yang telah menaikkan darahku sehingga ke kepala.

“Azrul, percayalah.” Bisik suara ghaib buat kali kedua.

“Percaya mengenai apa? Buat apa aku percaya jika aku sendiri tak tahu kau siapa. Kalau kau nak nasihatkan aku, lebih baik jelmakan diri kau depan aku.” Kata aku dengan lembut sekali.

Aku masih tidak percaya akan suara itu. Aku seperti orang gila bercakap dengan seseorang yang tidak dapat dilihat akan tubuhnya. Dengan pantas aku menampar pipiku beberapa kali untuk mendapatkan kepastian. Terasa sangat sakit sehingga menimbulkan rasa pedih di pipiku. Ternyata, ini bukan mimpi.

“Tak berguna Azrul, ini bukan mimpi. Buat apa sahaja yang kau mahukan kerana ini bukan satu khayalan.”

“Ya, ini bukan mimpi.” Kataku dengan perasaan sungguh terkejut.

Dengan pantas aku melabuhkan punggungku ke atas katil. Aku sangat takut dengan semua perkara yang berlaku tadi. Sewaktu kejadian lampu yang dimainkan, air yang aku lihat keluar dengan sendirinya, tetapi langsung tidak membasahkan lantai dengan cecair jernih tersebut, terus membuatkan aku sungguh takut dan tidak percaya. Kemudian, aku terus membaringkan badan sambil menyelimutkan tubuh kerana takut akan suara itu.

“Kau siapa? Kalau kau berani tunjukkan diri kau.” Kataku dengan menggigil sekali.

Sekali-sekala aku menutup separuh muka dengan selimut yang menutup tubuhku. Sedikit sejuk dan sedikit panas yang dapat aku rasakan pada ketika itu.

Secara tiba- tiba telefon bimbitku berdering dengan nyaring di bucu meja tempat aku belajar. Aku serba salah untuk menjawabnya kerana takut akan suara itu menghantui siangku.

“Tetapi, tak mungkin akan ada hantu pada siang hari.” Kataku didalam hati. Ah, itu orang kata, tapi aku sendiri telah lalui perkara yang menakutkan pada siang hari.

“Apalagi, angkatlah.” Arah suara ghaib itu.

Aku menggigil sehingga berpeluh satu badan. Selimutku basah terkena air peluh daripada badanku sendiri. Sebenarnya, aku tidak suka perkara itu berlaku kerana ia menjijikkan. Aku boleh dikatakan sebagai seorang yang pembersih, tidak kira lah pakaian, malahan tempat tidurku juga akan aku jaga dengan sebaiknya.

Namun, aku langsung tidak hiraukan soal kebersihan pada ketika itu kerana perasaan takut sudah mula menyelubungi tubuhku. Kemudian, aku cuba mengelap dahiku yang dipenuhi titis-titis air peluh yang keluar, namun tidak juga aku lakukan dan terus berselubung di dalam selimut yang sudah terasa kepanasannya.

“Jangan jadi pengotor. Lebih baik kau bangun dan terus mandi. Jangan jadi penakut dan jangan jadi pemalas.” Kata suara itu sungguh tegas sekali.

“Kau menakutkan aku!” Jeritku dengan kuat sekali.

“Apa yang takutnya siang buta ni, Azrul? Jerit mama yang terdengar akan suara aku dari dalam bilik.

“Tak ada apa, ma. Azrul cuma terkejut dengan aksi yang seram dalam filem ni.” Jawabku yang penuh dengan helah.

“Baiklah, kau nak tahu siapa aku? ” Bisik suara ghaib itu.

Aku menganggukkan kepala dan meliarkan pandanganku seolah-olah mencari keberadaan suara itu.

“Ya, aku nak tahu kau siapa.” Jawabku yang tidak sabar lagi.

Kemudian, aku terdengar jelas bunyi tapak kaki seseorang yang melangkah dengan pantas menuju ke pintu bilikku. Selepas itu, aku langsung tidak menghiraukan bunyi tapak kaki tersebut dan terus fokus akan suara ghaib itu sahaja.

“Aku sebenarnya ialah…” Kata-kata suara ghaib itu terpotong.

“Azrul! Ya Allah, masih belum bangun? Banyak buat helah ya, kata tengok movielah, apalah.” Terjah mama yang datang dari dapur menyusup masuk ke dalam bilikku secara senyap.

Aku terkejut dengan suara mama yang nyaring itu. Dengan pantas, mama terus menarik selimutku sehingga terbuka luas menampakkan tubuhku yang masih berbaju. Selepas itu, mama menyelak langsir yang menutupi tingkap dan bilikku terang dipancar cahaya matahari yang dapat menembusi kaca tingkap bilik. Kemudian, mama menyuruh aku mandi dan terus keluar dari bilik. Tanpa sengaja, aku terus melupakan suara ghaib itu.

***

Aku menarik kerusi kayu berwarna hitam di meja makan. Secara perlahan kerusi tersebut bergerak ke belakang. Dengan pantas, aku melabuhkan punggung di atas kerusi itu. Tanganku hanya memegang dahi dan kepala kerana pening, lalu mengurutnya perlahan.

“Apa tunggu lagi tu, makan lah.” Kata mama yang melihat keadaanku membeku di meja makan.

Aku tersenyum kecil, tanganku mula mencapai senduk di dalam mangkuk mihun yang mama masak. Sungguh harum bau mihun yang dimasak oleh mama. Kata orang, setiap hidangan yang dibuat oleh seorang ibu itu penuh dengan kasih sayang. Aku menghidu bau mihun tersebut beberapa kali, kepalaku yang terasa pening tadi aku lupakan buat seketika.

Senduk demi senduk mihun aku letakkan di atas pinggan kaca berwarna putih di hadapanku. Mama hanya memandangku dengan senyuman yang manis terukir dibibirnya. Mungkin juga mama suka melihat aku makan mihun yang dia masak.

“Lapar ke, Azrul?” Soal mama pendek.

“Sedap, ma.” Kataku sambil melemparkan senyuman ke wajah mama.

Lain yang ditanya, lain pula yang aku jawab. Ah, lantaklah yang penting perutku penuh diisi mihun goreng masakan mama.

Secara tiba-tiba, kepalaku kembali terasa sakit. Aku tersentak seketika menahan sakit itu. Aku berhenti daripada mengunyah dan berhenti daripada terus menyuap mihun ke mulut.

“Jangan layan sangat sakit tu.” Kata suara ghaib itu secara tiba-tiba.

“Argh, pergi.” Jeritku dengan lantang sehingga menyebabkan mama terkejut.

“Kenapa ni Azrul, ada apa-apa yang tak kena ke?” Soal mama dengan muka yang cemas.

Aku menggelengkan kepala kemudian menundukkan kepala ke bawah. Tanganku tidak berhenti daripada terus memicit kepala.

“Ma, kepala Azrul pening sangat, sampai suara tu suka sangat menganggu Azrul.” Kataku sambil menahan sakit.

Mama kaku melihatku sambil memegang garfu yang sama paras dengan dadanya. Raut wajahnya kelihatan sugguh hairan apabila mendengar kata-kataku yang sungguh pelik itu.

“Suara siapa? Mama tak dengar sesiapa yang bercakap pun. Mungkin kamu ni banyak sangat berilusi ni.” Kata mama bersahaja sambil menghadap pinggannya.

Mungkin benar juga apa yang dikatakan oleh mama. Aku tidak perlu menyalahkan semua perkara yang ada di sekelilingku. Kalau aku terus berimaginasi dan berilusi, sudah pasti ada benda yang menganggu, tidak kiralah seperti hantu ke ataupun suara ghaib yang selalu aku dengar.

Kemudian, aku terus melupakan semua perkara itu. Aku membiarkan kepala yang pening itu buat seketika. Pandanganku mula memerhatikan pinggan kosong yang berada di sebelah mama. Sungguh licin pinggan itu tanpa ada sisa-sisa mihun yang tertinggal dicampur dengan sedikit air teh O di atasnya. Ini pasti papa punya tempat duduk.

“Papa mana, ma?” Soalku pendek.

“Papa dah pergi kerja sewaktu mama terjerit-jerit memanggil kamu kat atas tadi.”

“Oh… .”

Aku berasa hairan, hari ini hari Sabtu, takkanlah papa bekerja sewaktu orang sedang nyenyak dibuai mimpi di atas katil ataupun orang yang sedang asyik berseronok bersama keluarga di tepi pantai. Mungkin banyak kerja yang masih belum diselesaikan oleh papa. Yalah, papakan seorang yang berpangkat tinggi di pejabatnya merangkap pengurus besar syarikat, mana boleh meninggalkan pejabat tanpa menyelesaikan urusan yang lebih penting. Aku memuncungkan mulut ke hadapan seolah-olah faham akan situasi papa.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *