Posted on

Destini Cinta – Bab 2

Sungguh bising sekali keadaan di warung mamak yang sering aku kunjungi untuk merasa mi gorengnya yang sedap itu. Maklumlah, berbilang kaum yang hidup aman dan damai di sebuah populasi yang kecil di bandar ini. Ada yang tua dan ada juga yang muda yang sering datang ke warung itu.

Aku juga tidak melepaskan peluang untuk ke sana dengan seorang peneman iaitu gadis yang berjaya merebut hatiku sewaktu di kolej. Dia tidak pernah mengungkit soal aku makan di warung mamak, sedangkan aku mampu untuk ke restoran yang ada class. Oleh itu, aku sangat memuji tingkah-lakunya yang tidak banyak ragam itu.

Pada ketika itu, tanganku seolah-olah ditarik-tarik apabila memegang sepinggan mi goreng di kaunter warung mamak sebaik sahaja menjejakkan kaki ke warung itu.

Niatku untuk membayar mi goreng tersebut terganggu buat seketika dengan perbuatan seseorang yang cuba menaikkan darahku. Aku menoleh ke belakang, namun tiada siapa yang cuba mencapai bahuku. Aku mula berasa hairan dengan situasi pelik ketika itu.

“Awak janganlah tarik tangan saya, kalau jatuh makanan ni, siapa yang nak bayar?” Tuduhku tanpa menyiasat terlebih dahulu akan perkara yang sebenar berlaku.

Bahuku ditampar secara tiba-tiba. Terasa pedih apabila aku cuba menyentuh bahuku yang ditampar tadi. Aku mengerutkan muka menahan sakit yang ditampar oleh Zira.

Kelakuan seperti ini memang sudah termaktub pada diri seorang wanita sehingga menyebabkan pedih yang teramat sangat apatah lagi dituduh tanpa usul periksa. Lalu, Zira  marah padaku.

“Bila pula saya yang tarik tangan awak. Saya pun boleh fikir, sama ada perkara tu baik ataupun tidak, awak jangan tuduh saya tanpa bukti.” Ungkap Zira yang sedang merajuk sambil menghampiri sebuah meja makan.

Aku mula mendekati Zira sambil membawa pinggan berisi mi goreng kesukaan aku. Zira cuba mengelak diripada aku dan terus duduk disebuah meja makan di warung itu. Dengan pantas aku mengekorinya sehingga mencapai sebuah kerusi berhampiran Zira, lalu melabuhkan punggug di atas kerusi tersebut. Selepas itu, aku merenung wajah Zira dengan tajam sekali sehingga dia cuba mengalihkan pandangannya ke arah lain.

“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Soal Zira yang ingin tahu.

Zira berasa pelik apabila mataku merenung tajam terus pada bebola matanya. Dia cuba mengalihkan pandangannya, namun tidak mudah sekali untuk dia lakukan kerana mataku akan mengekori ke mana sahaja bebola matanya beralih pandangan.

“Sebab saya tahu itu kelemahan awak. Awak tak suka saya pandang awak macam tu.” Jawabku dengan tenang.

Zira sudah mula melakar senyuman di hadapanku. Sungguh senang hatiku apabila dia mahu tersenyum semula. Kalau tidak, memang sukar untuk aku memujuk lakunya yang sering merajuk. Maklumlah, hati perempuan mudah tersentuh dan terasa. Terguris sedikit hingga beberapa hari dia menyimpan perasaan sedih tanpa meluahkan kepada seseorang.

Kemudian, Zira mencubit pipi kananku yang masih merah disebabakan kejadian pagi tadi iaitu menampar pipi sendiri dengan kuat untuk mendapatkan kepastian yang kukuh.

Aku terkejut apabila Zira menyentuh permukaan pipiku yang merah itu. Tanganku mula mencapai pipi dengan pantas dan menutupnya dengan erat menggunakan tapak tangan.

“Argh, sakit awak.” Rintihku yang cuba menahan sakit.

“Awak kenapa, awak bergaduh dengan orang?” Soal Zira yang ingin tahu sambil menarik tanganku untuk melihat pipiku.

Aku mengangkat bahu menandakan tiada jawapan yang tepat untuk dijawab. Mukaku berkerut kerana menahan sakit. Zira hanya memandang tajam mataku menandakan dia sungguh tidak percaya akan kata-kataku. Lalu, aku mengerutkan kening untuk mengingat kembali kejadian pagi itu.

“Oh…”

Aku tersenyum, lalu memasamkan muka seperti cuka getah. Memang sangat memalukan untuk aku terus bercerita. Namun, itu semua harus aku lupakan kerana Zira sedang menantikan bukti mengenai pipiku yang merah itu.

Berat sungguh hati ini untuk meluahkan satu-persatu perkataan kepada Zira. Apakan daya, wajah Zira sudah mula berubah menjadi merah padam menandakan dia sudah tidak sabar untuk mendengar cerita aku.

“Ada makhluk yang cuba menakutkan saya waktu bangun pagi tadi. Dengan suara yang garau entah dari mana tubuhnya pun saya tak tahu. Macam tadi, saya terasa ada yang cuba menarik tangan saya dengan sengaja, tapi tiada siapa yang melakukannya.” Peneranganku yang panjang lebar itu ditertawakan oleh Zira.

Aku menundukkan kepala, berasa sungguh malu akan cerita yang tidak masuk akal itu pada fikiran Zira. Aku sudah tahu hal ini pasti berlaku. Zira pasti mentertawakan aku walaupun ketawanya tidaklah kuat seperti seorang perempuan yang tidak mempunyai adab.

“Kalau waktu cuti ni, awak memang suka mengarut, ya?” Soal Zira yang masih tidak henti-henti menjadikan aku sebagai bahan ketawanya. Dia cuba mengenakan aku dengan pelbagai perkataan yang akan keluar dari dalam mulutnya.

Aku menarik nafas beberapa kali. Nasib baik, kesabaran aku dapat ditahan sehingga bahan ketawa Zira itu tamat. Zira mula mencapai tanganku. Lalu, dia mengeluarkan sebungkus tisu dari dalam beg tangannya. Dia menarik satu helaian tisu tersebut.

Kemudian, meletakkan tisu itu ditanganku. Kini, tisu itu digerakkan bersama tanganku ke mulut Zira. Zira cuba menghasilkan wap panas daripada mulutnya. Aku berasa hairan dengan perbuatan anehnya itu yang tidak pernah aku lihat.

“Awak nak buat apa ni?” Soal aku yang ingin tahu.

“Nak letak kat pipi awak yang merah tu.” Jawab Zira pendek.

“Eee, tak busuk ke nanti pipi saya?”

Zira menjeling tajam pada wajahku. Lalu, dia menggelengkan kepalanya menandakan tiada apa-apa kesan yang berlaku selepas dia berbuat demikian. Zira terus tersenyum dan melekapkan tisu tersebut di pipiku.

“Ini namanya tuam.” Kata Zira pendek.

Sedikit terasa sakit apabila pipiku terkena permukaan tisu itu. Zira menutup mulutnya dengan jari telunjuk untuk menyuruh aku diam. Aku menganggukkan kepala menandakan faham akan isyarat yang diberikan.

“Sangat sweet.” Bisik suara ghaib itu secara tiba-tiba.

Aku tersentak seketika. Badanku sedikit bergerak selepas terkejut mendengar suara itu. Tanpa sengaja tangan Zira terkena kuat pada pipiku dibahagian yang pedih itu. Aku menjerit kesakitan. Orang sekeliling mula mengalihkan pandangan mereka tepat pada kami berdua.

Zira cuba melakukan sesuatu seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Sungguh memalukan pada ketika itu. Nasib baik mereka tidak memandang serong dan menuduh sesuatu terhadap kami berdua.

“Awak ni kenapa?” Soal Zira geram sekali dengan nada yang sungguh perlahan.

“Tak ada apa awak, cuma sakit sikit ja.” Jawabku pendek sekali.

“Awak, kalau jadi lelaki biar gagah sikit, malu saya depan orang ramai.”

Zira tersenyum padaku. Senyumannya penuh dengan sinis. Aku hanya patuh akan kata-kata Zira. Dalam hatiku ingin sahaja memukul suara ghaib itu jika dia muncul di hadapan aku dan membalas dendam atas perbuatannya. Namun, impian itu hanya tertanam bulat-bulat didalam hatiku.

Mi yang berada di hadapanku langsung tidak aku sentuh kerana terhalang dengan hal-hal yang teruk berlaku. Aku mula mencapai sudu di dalam bekas  yang terletak di hujung meja. Belum sempat mengambilnya, tanganku ditepis oleh Zira. Zira kemudiannya mengambil sudu itu dan mula menyuap mi tersebut ke mulutku.

“Takpa, mi ni saya suapkan untuk awak. Biar awak mudah sikit untuk bergerak.” Ucap Zira dengan baik hati.

“Zira, saya masih mampu bergerak. Lagipun tangan saya tak sakit, saya boleh suap sendiri. Biar saya buat sendiri.” Balasku dengan penuh yakin.

Zira menarik nafas panjang. Lalu, meletakkan kembali sudu dan garfu yang dipegangnya tadi ke atas pinggan berisi mi goreng. Dia seolah-olah merajuk akan perbuatanku tadi. Aku dengan pantas memegang sudu tersebut bersama tangan Zira. Kemudian, menghalakan sudu tersebut ke mulutku. Zira terkejut dan tersenyum kerana perbuatannya yang tadi aku balas dengan mesra.

“Terima kasih, sayang.” Ungkap mulutku dengan perkataan yang sungguh sweet di hadapan Zira.

“Sama-sama.” Balas Zira pendek sambil melukis senyuman yang indah apabila diselang-selikan dengan suapan mi goreng ke mulutku.

“Saya lupa nak order air.” Kataku sehingga menyebabkan situasi romantik itu menjadi seperti biasa.

Aku tersengih kambing di hadapan Zira. Zira memandangku dengan sinis sekali sambil memegang garfu seperti orang yang ingin melakukan pembunuhan. Teramat kejam perbuatan Zira itu walaupun hanya menunjukkan aksi yang hanya memberi perumpamaan. Takut juga apabila perbuatan itu dilakukan oleh Zira walaupun sebelum ini dia tidak pernah berbuat sedemikian.

Lalu, aku mengangkat tangan untuk memanggil seorang pelayan di warung mamak itu. Dengan pantas, seorang pelayan lelaki berbaju kuning berbangsa Pakistan itu datang menghampiriku, sementara tangannya mengeluarkan sebuah buku kecil dari dalam poket seluarnya. Kemudian, aku memesan segelas milo ais dan sirap ais untuk Zira.

Kemesraan kami tercetus kembali sebaik sahaja pesanan kami telah sampai di atas meja. Aku terus meneguk milo ais tersebut beberapa kali sehingga dapat menghilangkan rasa kering ditekakku. Sungguh nyaman apabila dapat merasa ais pada ketika itu.

Orang sekeliling hanya memerhatikan kami sahaja. Raut wajah mereka ada yang faham akan kami berdua dan ada yang cuba mengelak daripada melihat kami berdua. Aku langsung tidak menghiraukan reaksi mereka. Aku hanya tertumpu pada Zira yang tidak pernah lelah membantuku dalam apa jua keadaan.

Sungguh indah sekali. Ucapan terima kasih memang sukar untuk aku ucapkan di hadapan Zira kerana budinya tidak boleh dibalas dengan sekadar ucapan terima kasih.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *