Posted on

Destini Cinta – Bab 3

Hari itu adalah hari yang penuh dengan kebahagian buatku. Didatangi dengan kegembiraan sehingga jelas terpancar lakaran senyuman dibibirku. Tidak putus-putus mengatakan ucapan terima kasih pada yang Maha Esa diatas kenikmatan yang diberikan kepadaku tanpa ada halangan.

Pada hari itu juga, stereng kereta sudah terbiasa digenggam olehku. Diputar ke kiri dan ke kanan. Pada hari itu juga masanya untuk aku memandu membawa Zira keluar menghirup udara yang sungguh segar sambil menikmati keindahan yang tercipta.

Aku memegang tangan Zira tanpa disengajakan. Dibelai dan diusap sebagai tanda memberi kasih sayang. Sayu hati aku apabila memandang raut wajah Zira yang manis itu tanpa berkata sepatah pun. Tenang jiwaku apabila Zira berada di sampingku, seolah-olah dia yang menjadi ubat kepada penyakit sunyiku.

Pada masa yang sama, kedengaran jelas bunyi deringan daripada telefon bimbit di sebelah tempat dudukku. Tidak sempat dicapai untuk diangkat. Kemudian, jatuh dan menggelongsor ke bawah kerusi tempat Zira duduk apabila tanganku mula meraba-raba di tempat aku meletakkan telefon itu, sambil memerhatikan jalan.

Aku cuba mencapai dan meraba telefon bimbit tersebut sekali lagi di bawah tempat duduk Zira. Namun, tidak menjumpainya. Oleh itu, tangan Zira pula yang cuba meliar ke kawasan bawah tempat duduknya, namun masih juga tidak menjumpainya.

Pada ketika itu, keretaku melayang ke kiri dan ke kanan seperti orang mabuk yang sedang memandu, kerana biji mataku kadangkala melihat ke bawah dan kemudiannya menghadap ke jalan semula.

Zira menjerit dengan kuat sekali kerana aku hampir melanggar seorang perempuan yang sedang berjalan di tepi jalan sehala berhampiran deretan kedai. Aku memberhentikan kereta dengan pantas sebaik sahaja suara lantang Zira menerjah masuk ke telingaku. Tangan kiriku dengan pantas menarik brek tangan ke atas hingga habis. Aku sungguh terkejut jika ada berlaku apa-apa pada Zira disebabkan ingin menjawab telefon itu tadi.

“Alhamdulillah.” Ucapku tenang sekali.

Aku menghembuskan nafas beberapa kali kerana tiada apa-apa yang berlaku ketika itu. Kelihatan Zira juga tidak mempunyai sebarang kecederaan, malah dia lebih diam tanpa berkata apa-apa. Dalam fikiranku, sudah selamat itu yang lebih penting.

“Argh! Nasib baik aku tak mati kat tengah jalan raya ni. Siapa yang pandu kereta macam orang gila ni, ha? Cepat keluar.” Jerit perempuan yang berdiri di hadapan keretaku.

Aku terkejut selepas sahaja terdengar jeritan seorang perempuan yang hampir dilanggar itu. Mujur aku tidak lupa akan perempuan itu dan langsung menoleh ke arahnya.

Mataku memandang tepat ke wajahnya yang sedang tunduk melihat tubuh. Mungkin juga dia hendak memastikan jika terdapat sebarang kecederaan serius pada tubuhnya, sangkaku. Tidak lama kemudian, perempuan itu terus mengalihkan pandangannya ke arahku. Masih tidak jelas wajah perempuan itu kerana dihalang oleh pantulan cahaya pada cermin hadapan keretaku.

Aku cuba mengelipkan mata beberapa kali untuk memastikan wajah perempuan itu sama ada aku kenal ataupun tidak. Perempuan itu tidak putus-putus berleter seperti burung murai yang tercabut ekornya dan juga seperti seorang Mak Cik tua yang telah lanjut usia. Pada masa yang sama, hati aku terdetik untuk mengingat kembali suara perempuan itu.

“Oh, Amira.” Bisik hatiku yang sudah kenal akan suara itu.

Aku meminta izin daripada Zira untuk mendekati Amira di luar kereta. Zira hanya berdiam diri. Aku tak tahu akan salah dengan apa yang telah aku lakukan. Dalam fikiranku, hanya terungkap mengenai kejadian tadi, tentang kecuaian aku sehingga menyebabkan Zira seperti itu.

Aku menghela nafas yang panjang dan berserah dengan perkara itu. Zira seperti sudah fobia dengan tragedi bahaya yang berlaku tadi. Dia juga seperti sudah takut untuk menjadi penumpang keretaku. Aku sungguh kesal dengan perbuatanku yang sungguh cuai itu.

Wajahnya merah padam seperti dicurah air panas yang terkena mukanya. Sungguh malang sekali nasibku jika Zira menjauhkan diri daripada aku disebabkan perkara itu. Aku memohon didalam hati kepada Tuhan agar perkara ini tidak berulang lagi.

“Maafkan saya, awak.” Pintaku sayu sekali sambil memegang tangannya.

Tanpa membuang masa, Zira hanya menganggukkan kepalanya, tetapi matanya tertumpu pada tangannya sahaja. Perasaan bersalah menebal didalam diriku. Rupa-rupanya kebahagiaan dan ketenangan tadi telah berubah menjadi malapetaka buat diriku. Aku menunduk malu apabila di hadapan Zira kerana aku tidak dapat menjaganya dengan baik.

Kemudian, aku membuka pintu kereta dengan perlahan. Menjejakkan kaki kanan ke tar jalan terlebih dahulu. Seterusnya, mengeluarkan kepala ku seperti menujah langit biru.

“Oh, awak si kacak.” Amira terkesima seketika.

“Tak apalah, kalau awak yang mahu melanggar saya. Saya boleh maafkan awak.” Sambung Amira lagi dengan nada suara perlahan.

“Maafkan saya, Amira.” Mohonku di hadapan Amira dengan raut wajah muram.

Amira menggelengkan kepalanya dua kali menandakan perkara tadi dimaafkan olehnya. Dia hanya tersenyum seolah-olah tiada apa yang berlaku sebentar tadi. Aku mendekati tubuh Amira untuk melihat keadaannya jika terluka ataupun tidak.

Tanpa aku sedar, Amira terus mencapai tanganku, lalu menggenggam rapi tanganku dengan sengaja. Aku terpaksa merelakan perbuatan Amira itu kerana rasa bersalah yang menebal didalam diriku.

Zira yang tadi hanya duduk diam di dalam kereta keluar untuk bertemu kami berdua. Sangkaku, Zira tidak senang akan perbuatan Amira yang sedikit gedik di hadapanku. Lalu, dia memeluk tubuhnya apabila berdiri keluar di hadapan kami. Amira yang tadi memegang tanganku dengan pantas melepaskan genggamannya. Mungkin dia takut jika Zira marah padanya.

Muka Amira yang tadi gembira bertukar menjadi sedikit benci apabila melihat Zira bersamaku. Dia bertindak kejam di hadapanku dengan sengaja.

“Aku nak ganti rugi.” Kata Amira dengan nada marah.

Aku hairan kerana keputusannya tadi sungguh tidak mengecewakanku, tetapi sekarang membuatku sungguh runsing. Aku tidak hairan jika perempuan mempunyai hati busuk seperti dia sanggup melakukan perkara itu dengan kata-kata dusta, tetapi aku akan terus bermasam muka jika dia cuba mengubah keputusannya dengan serta-merta.

“Tadi, awak kata dah maafkan saya, tapi sekarang… ” Ujarku bersahaja tanpa memanjangkan kata-kata.

“Itu tadi sebelum makhluk di hadapan saya ni ada.” Sambung Amira lagi dengan tegas.

Aku menghela nafas panjang kerana terkesan dengan kata-kata Amira tadi. Zira hanya memandang kami berdua. Aku sudah faham benar akan sikap Zira. Jika dia berdiam diri bermakna dia mungkin terpaksa dalam hal ini. Ataupun mungkin Zira membenarkan aku menunaikan janji Amira untuk membayar ganti rugi.

“Apa yang awak nak, Amira?” Soalku lagi.

“Awak, saya nak awak selalu berada disamping saya, apa yang saya nak awak kena tunaikan, jangan lebihkan teman wanita awak yang bertudung ni.” Kata Amira dengan senyuman sinisnya.

Amira seperti puas melakukan perkara seperti itu. Aku menjadi serba-salah untuk melayan perasaan kedua-dua orang wanita yang berada di hadapanku ketika itu. Dalam fikiranku, ia memang benar berlaku tanpa disengajakan dan sudah ditakdirkan Tuhan. Aku hanya berserah dan menunggu sahaja perkara yang akan datang berlaku.

“Maafkan saya, awak.” Bisik hatiku terhadap Zira.

Zira terus membuka pintu kemudian duduk bersandar di dalam kereta. Dia cuba melelapkan matanya untuk berpura-pura tidur dengan tujuan tidak mahu melihat kami berdua. Amira sungguh puas dan berasa gembira dengan kata-katanya yang dilemparkan di hadapan Zira.

“Hari ini, saya sungguh beruntung. Kalau saya dilanggar oleh awak hari-hari, pasti saya dapat macam ni hari-hari jugakkan.” Kata Amira gedik sekali dengan pernyataan yang sungguh tidak bermakna itu.

“Kau memang gila, Amira. Perempuan gila. Ke tepi, jangan ganggu aku.” Bentakku dengan nada yang keras sehingga menolaknya ke tepi bahu jalan.

Kemudian, aku terus benamkan tubuhku di dalam kereta. Berlalu pergi dari situ hingga tidak dapat melihat tubuh si perempuan gedik itu lagi. Mungkin hari ini aku terlepas daripada seksaannya, lain hari apabila di dalam kolej, sudah pasti aku akan bersama Amira itu lagi. Ujar hatiku yang sangat lemah.

Sekali-sekala aku memandang wajah Zira yang sedang tidur. Sungguh sayu tatapanku. Tidak tahu bagaimana untuk aku mengucapkan kata maaf di hadapannya apabila hatinya telah diselaputi racun yang berbisa.

“Maafkan saya, awak.” Kataku hanya di dalam hati berulang kali.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *