Posted on

Fugitif – Bab 1

Cinta yang halal itu datangnya daripada kasih sayang Allah. Kerana cinta jugalah, dua insan yang kini terkujur, masih bersama. Di atas katil, lena dibawa belayar. Hanya dada yang naik turun menghela nafas membuktikan mereka masih hidup. Tidur mereka damai tanpa gangguan. Lena itu amat bermakna bagi dua insan yang baru terlepas daripada trauma menjadi mangsa culik dalam konspirasi durjana.

Setelah sekian lama, lena mereka terganggu oleh bunyi ketukan. Mulanya sekadar samar-samar di pendengaran, namun semakin lama semakin kuat. Nur Sayang terjaga. Dia membuka mata. Dengan tubuh yang dipeluk erat si suami, pergerakan Nur Sayang terbatas. Hanya bebola mata yang berpusing-pusing memandang keliling. Mindanya akas mencerna. Dia sedang berada di dalam biliknya. Di Malaysia.

Bunyi itu semakin kuat. Nur Sayang kurang pasti berapa lama pintu itu diketuk sebelum dia tersedar. Cemas benar kedengarannya. Dia cuba untuk bangun tetapi tangan Dr. Ehsan kemas melingkari pinggang. Nur Sayang memandang wajah si suami, mahu memastikan dia sudah terjaga sepertinya atau tidak.

Merasakan ada pergerakan di sisi, Dr. Ehsan membuka mata. Pandangannya diterpa wajah si isteri yang tidak berkelip-kelip. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Rangkulan masih belum terlerai. Risau andai dia merenggangkannya, si isteri akan hilang lagi.

Begitulah keadaan mereka sebelum terlelap beberapa jam lalu. Langsung tidak berubah posisi. Keletihan dalam penerbangan bercampur kelelahan menjadi mangsa culik, membuat mereka tidur mati. Mengimbau apa yang telah berlaku, sukar untuk percaya bahawa mereka masih hidup. Namun, ajal dan maut itu semuanya di tangan Allah.

Di Mesir, mereka telah diculik oleh sebuah pakatan ekstrimis yang menggelarkan diri sebagai Konsortium. Konsortium jahat itu mahu membawa pasangan itu ke Rom supaya Dr. Ehsan meneruskan penyelidikannya di bawah pemantauan mereka. Nur Sayang pula dijadikan tebusan agar suaminya akur. Mereka bernasib baik kerana berjaya melepaskan diri beberapa minit sebelum pesawat yang sepatutnya mereka naiki berlepas. Dengan pertolongan seorang rakan, mereka pulang ke Malaysia.

Pintu diketuk lagi. Kali ini diiringi jeritan Qamarain memanggil nama anaknya. Lamunan pasangan suami isteri itu terhenti. Dr. Ehsan memandang Nur Sayang.

“Pergilah tengok ibu nak apa.”

Dr. Ehsan membelai rambut Nur Sayang. Sebelah tangan lagi masih memeluk kemas isteri dengan dengan ibu jari mengelus-elus lengan Nur Sayang. Dia melekapkan pipi ke atas ubun-ubun isterinya.

“Kenapa, ibu?” teriak Nur Sayang.

“Ini, mari tengok tv ni.”

Suara Qamarain dari luar bilik kedengaran jelas. Dr. Ehsan tersengih. Memanglah isterinya gemar menonton televisyen. Gemar muat turun movie. Tapi ibu mertuanya juga? Anak-beranak sama saja hobinya. Dengan berat hati, dia meleraikan rangkulan.

Nur Sayang mengeluh perlahan. Dia tidak mahu meninggalkan posisi sekarang. Tidur berbantalkan lengan suami cukup mendamaikan. Dia mahu berada selama-lamanya di situ. Andai bom meletup sekali pun, dia tidak akan kisah. Namun dia tahu, selagi Qamarain tidak nampak batang hidungnya, pasti ibu akan bising lagi.

Nur Sayang bangun dengan tangan masih menggenggam tangan si suami. Setelah tangan mereka sudah tidak boleh regang lagi, barulah dia melepaskan tangan suaminya. Bibirnya senget tanda kesal sambil melangkah perlahan meninggalkan suami di katil. Di muka pintu bilik, dia menoleh seketika pada suaminya yang sedang membetulkan duduk di kepala katil. Setelah pasti Dr. Ehsan sudah kelihatan ‘sopan’, Nur Sayang membuka pintu.

“Ada apa, ibu?”

Nur Sayang membetulkan rambut yang tidak terurus dengan jari. Qamarain mengerling ke dalam bilik. Dia ternampak Dr. Ehsan yang sedang duduk bersandar. Qamarain diserbu rasa bersalah.

“Opps, sorry. Ibu kejutkan korang berdua?”

Nur Sayang mengangguk tanpa berselindung. Baru ibu mahu tanya? Masa ketuk pintu tadi, tak pula fikir sama ada dia mengganggu privacy mereka. Air muka Qamarain sudah bertukar seperti rupa orang bersalah. Dr. Ehsan melurutkan rambut dan tersenyum.

No problem, ibu. Kami terlelap saja. Jetlag.”

Nur Sayang mengerling si suami. Lelaki itu memang jenis berterus-terang, tidak reti berkias dan berselindung.

“Kenapa, ibu? Apa ada kat tv?”

“Berita kapal terbang hilang. Tarikh dan masa pun sama dengan apa yang korang cerita. Kapal terbang korang kot?”

Qamarain bercakap laju dan cemas. Langsung tiada noktah atau koma. Beberapa jam yang lalu, dia dikejutkan oleh kemunculan anak dan menantunya di hadapan pintu rumah dalam keadaan sehelai sepinggang, meminta wang untuk membayar tambang teksi dari KLIA.

Mata Dr. Ehsan membesar. Terkejut dan hairan. Kapal terbang mana pula? Takkan ada lagi kes kapal terbang hilang? Kes MH370 pun masih belum selesai. Dia bingkas berdiri dan mendapatkan isterinya. Mereka keluar dengan pantas ke ruang tamu.

Liputan kehilangan kapal terbang Fly Mediterranean dari Kaherah, Mesir ke Rom, Itali sedang bersiaran. Laluan perjalanannya juga dipaparkan. Radar telah mengesan lokasi terakhir kapal terbang di tengah-tengah Laut Mediteranean.

Nur Sayang merenung si suami penuh makna.

Dr. Ehsan mengucap panjang. Memang tidak syak lagi. Itulah kapal terbang yang sepatutnya mereka naiki. Itulah kapal terbang yang sepatutnya membawa mereka ke Rom oleh penculik-penculik Konsortium.

“Betul, kan? Itu pesawat yang korang kena naik, kan?”

“Ya, ibu. Memang itulah pesawatnya.” Dr. Ehsan mengangguk.

Qamarain mengucapkan syukur kerana anak dan menantunya selamat. Terselamat daripada penculik-penculik itu. Juga terselamat daripada menjadi penumpang kapal terbang yang hilang itu. Dia memandang Nur Sayang. Tidak tahulah apa akan terjadi jika dia kehilangan anak tunggal kesayangannya itu. Air matanya bergenang.

Sementara itu, Dr. Ehsan menumpukan sepenuh perhatian kepada liputan berita tersebut. Pelbagai andaian dan kebarangkalian dikemukan oleh pemberita dan pakar-pakar aeronautikal. Ini hanya menambahkan persoalan di dalam minda Dr. Ehsan. Bagaimana kes pesawat hilang boleh berulang? Apakah pakar-pakar penerbangan tidak belajar daripada kesilapan lalu? Apakah yang terjadi kepada Dr. Stein dan Michael Goldberg, penculik mereka itu?

Nur Sayang sekadar melopong merenung televisyen. Bagaikan tidak percaya dengan berita yang dipaparkan. Berbagai-bagai soalan berlegar dalam minda. Paling utama, dia bersyukur kerana mereka tidak menaiki kapal terbang tersebut.

“Abang!”

Dr. Ehsan tersentak. Dia terus menoleh pada wajah si isteri. Pandangan berkalih ke perut Nur Sayang yang sarat. Lakonan isterinya ketika di tangga kapal terbanglah yang menyelamatkan mereka. Beria-ia sakit perut hingga pihak berkuasa lapangan terbang melarang mereka daripada menaiki pesawat.

“Kenapa, sayang?” tanya Dr. Ehsan, risau jika Nur Sayang benar-benar sakit perut.

Awatnya?” Terkeluar loghat Utara daripada bibir Qamarain. Dia juga risau sekiranya cucu dalam kandungan anaknya mengalami trauma ekoran pengalaman Nur Sayang yang mencemaskan. Dia juga risau jika anaknya itu keguguran walaupun kehamilan Nur Sayang sudah berusia enam bulan.

“Nur nampak nama si keparat itu. Berita bergerak di bawah itu.”

Nur Sayang menunjuk pada kaca televisyen. Dek kerana benci benar dengan Jeneral Zuckermann, dia tidak mahu menyebut nama jeneral itu. Dia tidak akan lupa bagaimana jeneral Zionis itu menyiksa Dr. Ehsan dan mendera dirinya semasa menjadi mangsa culik.

“Mana?”

Ketika itu teks ringkas berita berkenaan Jeneral Zuckermann sudah diganti dengan teks berita yang lain.

“Tunggulah kejap lagi dia ulang.”

Nur Sayang menumpukan perhatian kepada teks berita di bahagian bawah paparan televisyen. Dia membaca satu persatu berita yang ditayangkan. Lambat sangat rasanya untuk teks yang dikehendaki, diulang tayang. Setelah beberapa minit, teks berita itu ditayangkan semula.

Jeneral Zuckermann, ketua turus tentera Israel, meninggal dunia. Dipercayai membunuh diri

Dr. Ehsan terkejut membaca teks berita itu. Berkerut-kerut mukanya. Kali terakhir dia bertemu dengan Jeneral Zuckermann, tiada tanda-tanda jeneral itu akan membunuh diri. Dia tertunggu-tunggu jika ada lagi berita berkenaan kematian Jeneral Zuckermann, tetapi teks berita itu sudah beralih kepada berita negara lain.

“Ada kena-mengena dengan kita dapat larikah, bang?”

Nur Sayang membuat andaian. Mungkin Jeneral Zuckermann merasa bersalah kerana gagal dalam misi menculik mereka. Atau mungkin dia dibunuh tetapi dilakukan seperti bunuh diri.

Wallahu a’lam. Tapi, Jeneral Zuckermann bukan orang yang mudah mengalah. Pelik, kalau dia bunuh diri.”

Dr. Ehsan juga tertanya-tanya kenapa Jeneral Zuckermann tiba-tiba bunuh diri. Berita itu seperti tidak masuk akal. Dia kenal benar dengan Jeneral Zuckermann. Jeneral itulah yang telah membuat dia kehilangan kaki sebelah kiri. Dia menyentuh kaki palsunya. Setiap kali terkenangkan Jeneral Zuckermann, lututnya terasa ngilu. Dan setiap kali lututnya terasa sakit, dia pasti teringatkan Jeneral Zuckermann.

“Mungkin orang-orang Konsortium bunuh dia. Sama juga dengan Dr. Stein dan Goldberg yang hilang bersama-sama kapal terbang itu. Mungkin orang-orang Konsortium rasa mereka perlu dihapuskan sebab gagal bawa kita lari ke Rom?”

Nur Sayang membuat teori sendiri. Dr. Ehsan menggeleng. Hatinya terdetik dengan teori yang sama, tetapi fikirannya tidak dapat menjangkau apa yang sebenarnya berlaku.

“Abang tak berani nak cakap. Kita tunggu saja perkembangan seterusnya.”

Dr. Ehsan mengambil alat kawalan jauh, mencari-cari saluran stesen televisyen yang mungkin memaparkan berita kematian Jeneral Zuckermann dengan lebih terperinci. Tiada. Akhirnya, dia kembali ke saluran asal yang masih melaporkan berita kehilangan kapal terbang itu.

“Sekarang, orang jahat itu dah hilang. Jeneral Za … Za, apa nama jeneral itu?”

Tersangkut lidah Qamarain mahu menyebut nama tersebut. Dia memandang Nur Sayang, memohon pembetulan. Anaknya itu menarik muka masam dan mengetap bibir. Benci mahu menyebut nama jeneral zalim itu. Dia sudah berjanji tidak mahu menyebut nama itu seumur hidupnya. Baginya nama itu seperti satu perkataan mencarut.

“Zuckermann, ibu.”

Dr. Ehsan menawarkan cara yang betul menyebutnya. Dia tersengih. Terhibur melihat muka isterinya yang herot-berot.

“Ha! Dua orang penculik tu dah hilang. Jeneral Zuckermann pula dah mati. Eloklah. Mereka dah tak kacau korang lagi.”

Nur Sayang mengangguk. Dr. Ehsan berfikir panjang. Kemudian, dia menggeleng.

“Konsortium bukan mereka bertiga saja, ibu. Daripada cerita orang Konsortium, kumpulan mereka besar. Merangkumi seluruh dunia.”

Qamarain terfikir, masakan orang Konsortium akan menjejak menantu dan anaknya hingga ke Malaysia. Mereka berdua bukan orang ternama. Hidup atau mati, tidak mungkin menggugat sebuah Konsortium yang besar itu.

“Hmm, apa-apalah. Ibu lega korang selamat. Ibu nak ke dapur. Nak masak. Korang lapar, kan? Sejak balik tadi tak makan apa.”

“Nur tolong ibu,” Nur Sayang menawarkan diri sambil bangun dengan pantas. Dia terduduk semula apabila tangannya dilelar oleh Dr. Ehsan.

Stay with me,” bisik Dr. Ehsan sekadar menjadi halwa telinga Nur Sayang. Ketika itu, dia diserbu rasa takut kehilangan isteri.

“Bukannya jauh pun. Dapur situ saja,” Nur Sayang juga berbisik sambil memuncungkan bibir ke arah dapur. Tiada dinding pun yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu.

“Nur temankan Ehsan.”

Qamarain mengerling tangan Dr. Ehsan yang sudah melingkari bahu Nur Sayang. Gembira dia melihat Dr. Ehsan begitu sayangkan anaknya itu.

Sesekali Dr. Ehsan menukar saluran, mencari jika ada berita yang memaparkan lebih banyak maklumat tentang kapal terbang yang hilang dan kematian Jeneral Zuckermann. Dia tertanya-tanya, apa yang sebenarnya berlaku kepada Dr. John Stein dan Michael Goldberg. Masakan kapal terbang sebesar itu boleh hilang begitu sahaja? Kenapa Jeneral Zuckermann bunuh diri? Adakah Konsortium yang membunuh Jeneral Zuckermann? Adakah Konsortium juga menghilangkan kapal terbang itu? Mahu menghilangkan semua bukti, mungkin.

Persoalan-persoalan itu tiada jawapannya. Semuanya masih menjadi misteri.

Sementara itu, perasaan Nur Sayang bercampur-baur. Benarkah mereka sudah selamat? Adakah orang-orang Konsortium akan mencari mereka? Berapa ramai yang tahu akan kedatangan mereka ke Rom? Apakah yang terjadi kepada penumpang pesawat yang lain? Kasihan ahli keluarga mereka.

~ ~ ~

 

Laut Mediterranean

Air laut berdesir. Panas mentari membahang. Langit yang tiada awan membuatkan sinar matahari memanah terus ke permukaan air. Lautan yang sesekali berombak menyimbah air masin ke atas kepala dua orang manusia yang sedang terapung.

Dr. John Stein dan Michael Goldberg menguak-nguak air dengan kaki masing-masing. Gerakan itu mendorong diri mereka berdua agar terapung di tengah-tengah lautan.

“Di manakah kita?” Goldberg terpinga-pinga. Perkara terakhir yang diingatinya ialah berada dalam penerbangan Fly Mediterranean menuju ke Rom. “Kaulah yang buat kapal terbang kita terhempas. Sekarang tinggal kita berdua saja!”

Goldberg merenung Dr. Stein dengan marah. Kulit mukanya terasa terbakar. Perit dan pedih apabila terkena air masin. Namun, dia tidak henti-henti menguak-nguak air dengan kaki agar dirinya terus terapung.

“Aku tak jangka akan jadi macam ni. Aku hanya suruh juruterbang tukar haluan.”

Dr. Stein mempertahankan diri. Kakinya terasa letih tetapi dia tahu dia tidak boleh berhenti daripada menguakkan kaki jika tidak mahu dirinya tenggelam dan lemas. Air masin memasuki mulut apabila dia tercungap-cungap. Sesekali dia meludah.

“Suruh? Aku tak rasa kau suruh. Kau ugut dia, kan?”

Goldberg terus dengan tuduhannya. Dia semakin geram apabila Dr. Stein seperti tidak mahu mengaku. Tangannya menggenggam penumbuk. Namun, sebentar kemudian, dia terpaksa menggunakan tangan itu untuk menguak air. Dr. Stein tidak mengendahkan kemarahan Goldberg.

“Tak guna kita bertengkar. Kita perlu simpan tenaga kalau nak selamat.”

Dr. Stein menajamkan mata memandang permukaan lautan yang tidak bertepi. Kemudian, dia memusingkan tubuh untuk melihat sekeliling. Dia memicingkan mata. Berbalam-balam di kejauhan sana, Dr. Stein ternampak sesuatu.

“Tengok sana! Ada daratan. Mari kita berenang ke sana.”

Dr. Stein memuncungkan bibir ke arah apa yang difikirkan seperti sebuah pulau. Walaupun masih marah, Goldberg menurut.

Setelah dua jam berenang berhenti-henti, mereka sampai ke kawasan cetek. Mereka melangkah lemah ke tepi pantai. Pakaian yang basah menambah beban badan. Di pesisiran pantai itulah Dr. Stein dan Goldberg terjelepuk kepenatan.

“Kenapa kau ugut juruterbang tukar haluan?”

Goldberg bertanya dengan suara yang tercungap-cungap. Dia masih tidak berpuas hati kerana Dr. Stein tidak mahu mengaku kesalahannya.

“Rancangan kita gagal semuanya. Projek al-Mahdi gagal. Projek cantikkan Tuan Besar, gagal. Pendita tentu marah. Aku takut apa yang mereka akan lakukan pada kita. Tentu perit hukumannya. Sebab itu aku halang kapal terbang daripada mendarat di Rom.”

“Berada di pulau ini mungkin lebih teruk daripada apa yang Vatican akan lakukan pada kita. Lagi elok kalau kita tak naik kapal terbang itu macam Dr. Ehsan dan isterinya. Kita boleh hilangkan diri di Kaherah.”

Goldberg berkata dengan seribu penyesalan. Kesemua rancangan jahat Dr. Stein adalah rancangannya juga. Dr. Stein sepatutnya meminta pendapatnya. Dr. Stein sepatutnya meminta tolong daripadanya apabila kesemua rancangan mereka mengadapi masalah.

Dr. Stein malas hendak melayani amarah Goldberg. Perkara sudah terjadi, bukannya boleh diundurkan semula. Cepat-cepat dia menukar topik perbualan.

“Michael, apa perkara terakhir yang kau ingat sebelum kita berada di tengah-tengah lautan?”

Goldberg berusaha memerah ingatan dalam keletihan. “Aku terasa pesawat bergegar dan kemudian ada cahaya yang terang-benderang dari luar sampai mata aku silau. Apabila cahaya itu hilang, aku sudah berada di tengah-tengah lautan.”

Dr. Stein menarik nafas dalam-dalam. Apa yang dialaminya adalah sama dengan apa yang diceritakan oleh Goldberg. Dia mensyaki sesuatu.

“Kita bukan terhempas, Michael. Kita dah masuk ke dimensi lain.”

“Merepek!”

‘Sudah gila agaknya orang tua ini,’ Goldberg menggumam dalam hati. Dia merenung Dr. Stein dengan tajam sambil ketawa dengan sinis.

Dr. Stein tidak mengendahkan cacian Goldberg. Dia masih memikirkan apa yang dia syak. “Masa kita terapung tadi, ada kau nampak serpihan pesawat?”

Goldberg menggeleng.

“Ada kau nampak penumpang lain?”

Gelengan Goldberg makin laju.

“Ada kau nampak beg-beg penumpang atau pelampung bertaburan atas permukaan air?”

“Tak ada apa-apa kecuali kita saja di tengah laut tadi,” jawab Goldberg sambil berkerut dahinya cuba mengingati dengan lebih jelas.

“Pelik, bukan? Seolah-olah pesawat dan semua penumpang ghaib begitu saja. Kecuali kita berdua,” kata Dr. Stein perlahan, seolah-olah cuba menyakinkan dirinya dan Goldberg berkenaan teorinya bahawa mereka telah termasuk ke dalam dimensi lain.

Goldberg mendengus. Tidak ada gunanya memikirkan kejadian pelik yang sudah menimpa mereka. Lebih baik dia memikirkan bagaimana mahu menyelamatkan diri. Tiba-tiba dia teringat akan sesuatu.

“Rasanya Jeneral Zuckermann akan cari kita, tak?”

Mata Dr. Stein bersinar-sinar. Nama yang disebut oleh Goldberg itu memberikannya suatu harapan

“Ya, tentu dia akan kerah semua tentera Israel cari kita. Dia tentu nak tuntut janji. Nak cari menantu dan cucunya yang hilang itu.”

Dengan ingatan itu, Goldberg dan Dr. Stein merasa senang hati. Mereka yakin mereka akan diselamatkan tidak lama lagi. Mereka pun melayan rasa letih. Tidak lama kemudian, kedua-duanya tertidur.

~ ~ ~

 

Tel Aviv

Jeneral Zuckermann tersandar di kerusi. Kepalanya terkulai. Separuh daripadanya hancur. Darah mengalir keluar daripada rongga-rongga otak. Ada yang terpercik pada dinding. Sebiji peluru terbenam di dinding.

Jeritan Helsa mengegarkan seluruh kem tentera yang terletak bersebelahan dengan rumah jeneral itu. Ketika terdengar bunyi tembakan, dua orang tentera berkejar masuk. Melihat keadaan mayat jeneral dan pembantu rumah yang histeria itu, mereka cuba menenangkan Helsa. Tidak berjaya. Keadaan mayat Jeneral Zuckermann yang menggerikan itu membuatkan Helsa tidak berhenti-henti menjerit. Dua orang tentera itu terus mengheret Helsa keluar dan menempatkan wanita itu di biliknya.

Pada masa yang sama, tentera-tentera mula mengerumuni rumah Jeneral Zuckermann. Ada yang berani masuk ke dalam rumah dan mengintai bilik berkenaan. Mana yang berdiri di hadapan, terbeliak mata. Mereka di belakang terjenguk-jenguk ingin melihat dengan lebih jelas.

Dari belakang, terdengar satu suara menyuruh mereka memberi laluan. Serta-merta, tentera-tentera yang berkumpul itu terbahagi dua. Seorang tentera yang masih muda tetapi berpangkat, berjalan di tengah-tengah laluan. Lelaki itu adalah orang kanan Jeneral Zuckermann. Lefternan Meyer Sanderson mengerling kepada mayat Jeneral Zuckermann dengan muka yang tiada perasaan. Dia terus memberi arahan.

“Memandangkan jeneral dah tak ada, saya ambil alih jadi ketua di sini.”

“Baik, tuan!”

Tentera-tentera yang berada di situ secara automatik memberi tabik hormat kepada ketua baharu mereka.

“Kamu! Uruskan mayat jeneral.”

Leftenan Sanderson mengarahkan dua orang tentera yang sedang berdiri tegak paling hampir dengannya. Tentera-tentera yang dimaksudkan pantas mengangkat mayat Jeneral Zuckermann dan keluar dari bilik itu.

“Kamu! Uruskan pendita untuk upacara pengebumian esok.”

“Kamu! Bawa pembantu rumah jeneral ke mari.”

Sementara menanti ketibaan Helsa, Leftenan Sanderson melihat sekeliling bilik. Pelik dengan cara kematian Jeneral Zuckermann. Peluru yang terbenam di dinding tiada cacat cela. Tetapi bagaimana sebelah kepala Jeneral Zuckermann boleh hancur berkecai?

“Kamu semua, bagi membalas dendam ke atas kematian jeneral yang kita sayangi, tembak saja orang Palestin yang kamu jumpa. Tak perlu soal jawab. Sekarang, kamu semua boleh bersurai. The show is over.”

Leftenan Sanderson memberikan arahan. Dia memandang Helsa yang baru sampai tanpa rasa kasihan. Setelah semua tentera beredar, dia meminta Helsa duduk di atas sofa yang bertentangan dengan kerusi yang masih berdarah. Helsa memandang kerusi itu dan kembali menangis.

Dengan bersahaja Leftenan Sanderson berdiri betul-betul di hadapan Helsa. Menghalang pandangan Helsa terhadap kerusi berdarah itu. Dia memandang Helsa yang sedang mengesat air mata.

“Awak tahu siapa bunuh jeneral?”

Helsa menggeleng.

Daripada keadaan kepala Jeneral Zuckermann yang hancur berkecai sebelah, dia membuat andaian awal bahawa tembakan telah dilakukan dari jarak jauh.

“Ada awak nampak sesiapa yang tak dikenali masuk bilik jeneral sebelum dia terbunuh?”

Menggeleng lagi.

“Awak rasa dia bunuh diri?”

Berkerut kening Leftenan Sanderson. Sebagai seorang yang selalu bermain senjata api, dia tahu luka Jeneral Zuckermann itu sangat pelik. Sepatutnya, jika jeneral itu bunuh diri, tentu ada satu lubang saja di kepalanya iaitu laluan peluru.

“Saya tak pasti, tuan.” Helsa menarik hingus.

“Jeneral langsung tak cakap apa-apa sebelum dia mati?”

Leftenan Sanderson mula bosan dengan pembantu rumah yang tidak tahu apa-apa ini. Namun, dia masih tidak berpuas hati.

Menggeleng lagi.

“Awak pembantu rumah di sini. Selalu layan jeneral. Takkan dia tak cakap apa-apa?”

“Saya tak tahu apa-apa, tuan,” jawab Helsa dan menangis semula.

“Jeneral ada terima tetamu baru-baru ni?”

“Ada. Orang-orang Konsortium. Dua orang tahanan jeneral.”

Helsa teringat bahawa dia ada ternampak Dr. Ehsan dan Nur Sayang ketika pasangan itu menjadi tahanan Jeneral Zuckerman. Kali ini, jawapan Helsa menarik minat Leftenan Sanderson.

“Siapa dari Konsortium?”

“Dr. Stein dan Michael Goldberg.”

Leftenan Sanderson berpuas hati dengan dua nama yang disebut oleh Helsa. Dua orang itu adalah orang kuat Konsortium. Masakan mereka yang membunuh Jeneral Zuckermann. Manakala dia yakin, tahanan jeneral tidak akan ada peluang untuk membunuh jeneral. Dia tahu bagaimana kejamnya Jeneral Zuckermann terhadap orang tahanan.

“Mana Arielle dan Ayala?”

Leftenan Sanderson baru terperasankan sesuatu. Sejak dari tadi dia tidak nampak menantu dan cucu Jeneral Zuckermann.

“Arielle dan Ayala dah lama hilang, tuan.” Helsa menundukkan muka. Sedih.

“Hilang?”

Berkerut-kerut muka Leftenan Sanderson kerana tidak tahu-menahu akan perkara itu. Tiada siapa yang memberitahunya. Dia sendiri pula baru saja pulang dari satu operasi ketenteraan di Gaza semalam. Selama setahun batalionnya menganyang orang-orang Islam di pinggir Palestin.

“Mereka hilang beberapa bulan yang lepas.”

Helsa masih tertunduk. Dia mula berasa kurang yakin dengan masa depannya. Keluarga Zuckermann, tempat dia mencari rezeki sudah lenyap keseluruhannya.

Lefternan Sanderson terkejut.“Jeneral tak suruh cari?”

“Ada, tapi masih tak jumpa.”

“Awak rasa sebab itukah jeneral mati?”

Lefternan mula mengesyaki sesuatu. Dia tahu benar, Jeneral Zuckermann sangat sayang kepada cucunya. Kehilangan anak lelaki telah membuat jeneral itu begitu obses dengan satu-satunya keturunannya.

Helsa menggeleng. “Saya tak tahu, tuan.”

“Hmm, awak kemas bilik ini dan cuci kesan darah.”

Leftenan Sanderson memberi arahan terakhir. Tiada apa yang boleh diperolehi daripada wanita ini. Dengan wajah tanpa perasaan, dia melangkah pergi. Selang beberapa langkah, dia berhenti lalu mengadap Helsa.

“Oh ya! Kalau awak ingat apa-apa nanti, beritahu saya. Orang yang bertanggungjawab akan kematian jeneral perlu dihukum!”

Lefternan Sanderson meninggalkan Helsa yang masih trauma. Dia perlu memaklumkan Pendita Besar di Rom akan perkara tersebut. Impiannya untuk mendapatkan apa yang diinginkan selama ini bakal tercapai! Dia mula mengatur rancangan.

Setelah Lefternan Sanderson pergi, Helsa mengesat air mata. Air wajahnya berubah serta-merta. Daripada sugul kepada riak serius. Dia mengambil perkakasan pembersihan. Dia mula menyental kesan darah di dinding. Dia mengomel sendirian.

“Jeneral, saya tahu saya hanya seorang pembantu rumah. Tapi saya dah jadi pembantu rumah ini sejak anak jeneral kecil. Saya tak tahu kerja lain selain daripada menjadi pembantu rumah keluarga Zuckermann.”

Selesai membersihkan dinding, Helsa beralih pada kerusi yang pernah diduduki oleh Jeneral Zuckermann. Mujurlah kerusi itu diperbuat daripada kulit. Jika fabrik, tentulah sukar untuk menghilangkan kesan darah dan bau hanyir.

“Saya tahu orang yang bertanggungjawab atas kematian jeneral.”

Helsa menyambung monolog. Kata-kata Leftenan Sanderson sebentar tadi telah menguatkan lagi syak wasangkanya. Cuma dia mahu merahsiakan perkara itu.

“Lelaki bermata sepet itu, bukan?”

Bukannya dia tidak tahu, Arielle pernah menaruh hati kepada lelaki bermata sepet itu. Dia tidak akan lupa, dia pernah membantu Arielle membebaskan lelaki bermata sepet itu daripada tahanan Jeneral Zuckermann.

Cuma yang pelik, kali kedua lelaki bermata sepet itu menjadi tahanan jeneral, Arielle dan Ayala sudah pun menghilangkan diri. Kali kedua lelaki bermata sepet itu menjadi tahanan jeneral, dia ditemani oleh isteri. Mungkinkah itu sebabnya Arielle menghilangkan diri? Cemburu, mungkin?

“Tak mungkin jeneral bunuh diri. Saya tak pernah pegang pistol, tapi saya tahu bezakan tembakan jarak dekat dengan tembakan jarak jauh. Kalau jeneral tembak diri sendiri, takkan otak jeneral berkecai macam ini!”

Kesedihan dan kemarahan yang dirasai Helsa bercampur-baur. Sehingga hilang rasa ngerinya. Helsa mengutip serpihan kulit kepala, tulang dan otak jeneral yang bertaburan di sekeliling kerusi berdarah itu.

Helsa yakin bahawa Dr. Ehsan terlibat dengan kehilangan Arielle dan Ayala, seterusnya mengakibatkan kematian Jeneral Zuckermann. Dia pasti, Jeneral Zuckermann membunuh diri kerana terlalu sedih dengan kehilangan ahli keluarganya.

Selesai membersihkan bilik jeneral, Helsa membuka laci meja kerja Jeneral Zuckermann. Bekas pistol yang digunakan oleh jeneral itu kosong. Pistol itu telah dibawa oleh seorang tentera bersama-sama mayat jeneral.

“Tentu si pembunuh sengaja letak pistol jeneral agar nampak seperti jeneral bunuh diri, bukan?”

Helsa mendengus sambil membuka laci yang satu lagi. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Dia mengambil sekeping sampul. Walaupun bukan namanya yang tertulis di atas sampul, dia tetap membuka dan mengeluarkan isinya. Helsa membaca surat tersebut. Usai, dia tersenyum sinis.

“Aku akan bereskan amanat kamu, jeneral.”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *