Posted on

Fugitif – Bab 2

Sambil menikmati makan malam, Qamarain memandang Nur Sayang dan Dr. Ehsan silih berganti. Seperti masih berbekas pipi Nur Sayang akibat ditampar Jeneral Zuckermann. Muka Dr. Ehsan luka-luka dan lebam-lebam dikerjakan oleh Dr. John Stein dan Michael Goldberg. Geram dia melihat anak dan menantu kesayangannya diperlakukan begitu.

“Nur nak balik Mesir sambung belajarkah?”

Qamarain menatap wajah anaknya. Dia berharap sangat agar Nur Sayang akan terus berada di sampingnya. Nur Sayang menoleh kepada si suami di sebelah. Dia menanti kalau-kalau Dr. Ehsan akan memberi jawapan bagi pihaknya. Melihatkan Dr. Ehsan seolah-olah sedang mempertimbangkan jawapan, Nur Sayang menjawab terlebih dulu.

“Nur pergi sana guna pinjaman MARA, ibu.”

Qamarain tidak memikirkan apa implikasi berkaitan pinjaman yang dia sendiri bersusah-payah naik turun pejabat MARA untuk membuat permohonan. Dia lebih risaukan keselamatan anak dan cucunya yang bakal lahir.

“Tak payahlah balik Mesir. Sini pun boleh belajar medic.”

Qamarain memandang anak dan menantu silih berganti. Nur Sayang memandang Dr. Ehsan. Dia menanti keputusan suaminya. Idea melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah dalam bidang perubatan adalah cetusan Dr. Ehsan. Jadi, apa-apa keputusan perlu mendapat sokongan daripada si suami. Melihat anak dan menantu saling menantikan jawapan, dengan pantas Qamarain menyatakan buah fikiran.

“Ehsan pun boleh cari kerja di KL. Ehsan, pakar pediatrik. Senang saja dapat kerja. Atau Ehsan boleh kerja balik di hospital lama Ehsan.”

“Kalau hospital lama itu ada kosong lagi, ibu.” Nur Sayang mencelah.

Dr. Ehsan tersenyum. Luka dan lebam di muka terasa berdenyut-denyut. Itu sebagai peringatan betapa bahayanya hidup mereka di Mesir. Markas Konsortium terlalu dekat.

“Nantilah kami bincang pilihan yang ada, ibu,” jawab Dr. Ehsan dengan berlapik agar tidak mengecilkan hati ibu mertua.

Qamarain mengangguk. Dia tahu bahawa Dr. Ehsan tidak akan menolak permintaannya mentah-mentah. Menantunya memang seorang yang pandai menjaga hati dan berfikiran jauh. Kerana itulah, dia yang beria-ia menggalakkan anaknya berkahwin dengan lelaki mualaf itu.

Selesai makan, Dr. Ehsan mengajak Nur Sayang mengambil angin di balkoni. Nur Sayang berhenti membasuh pinggan. Dia mengeringkan tangan dan mengekori suaminya keluar ke balkoni.

“Abang tak nak tengok berita?”

Dr. Ehsan menggeleng.

“Abang tak nak tahu apa jadi dengan pesawat yang hilang dan jeneral yang dah mampus tu?” tanya Nur Sayang tanpa rasa bersalah dengan bahasa kasarnya. Walaupun dia bertekad tidak mahu menyebut nama Jeneral Zuckermann, tetapi mahu tak mahu, jeneral itu sudah menjadi sebahagian daripada sejarah hidup mereka.

“Esok berita itu akan ulang lagi. Selagi tak selesai. Malas abang nak terpaku depan tv. Lebih baik kita bincang hal kita.”

Dr. Ehsan teringat akan soalan-soalan ibu mertuanya. Dia juga risaukan masa depan mereka. Nur Sayang melabuh duduk di sebelah suaminya. Serta-merta Dr. Ehsan mencapai dan menggenggam tangan isterinya. Seolah-olah takut kehilangan Nur Sayang. Jari-jemari isterinya dibawa ke bibir.

“Patutkah kita cerita apa yang dah jadi pada kita? Dedahkan konspirasi Konsortium jahat itu? Ceritakan pada pihak berkuasa apa yang mereka nak buat. Ceritakan yang Konsortium culik abang sebab mereka nakkan kajian abang.”

Bertubi-tubi soalan Nur Sayang. Mereka terdiam. Masing-masing menimbangkan implikasi ke atas mereka sekiranya cerita tersebut didedahkan. Juga implikasi kepada dunia jika kisah mereka ini dirahsiakan.

“Tak usah dululah. Kita tak tahu sama ada Dr. Stein dan Goldberg itu masih hidup atau tidak. Kita pun tak tahu berapa ramai orang-orang Konsortium yang sedang cari kita,” kata Dr. Ehsan setelah berfikir sejenak.

Mereka termenung mengingati rentetan peristiwa yang dialami. Betapa mereka hanya mahu menjalani hidup seperti orang biasa, tetapi terjerumus dalam konspirasi antarabangsa yang tidak pernah mereka bayangkan. Betapa kompleksnya perancangan jahat Konsortium untuk menakluk dunia.

“Kenapa orang-orang Konsortium itu obses betul dengan Dajjal, ya?”

Nur Sayang asyik terfikirkan obsesi Konsortium itu. Obsesi yang mendorong Konsortium melakukan apa saja demi mencapai matlamat. Sehingga dia dan Dr. Ehsan diculik kerananya.

“Mereka tunggu kedatangan Dajjal, seperti orang Islam tunggu Imam Mahdi,” jawab Dr. Ehsan, teringatkan kata-kata Pakcik Hameed sebelum orang tua itu dibunuh oleh orang-orang Konsortium.

“Tapi Imam Mahdi bawa kebenaran. Dajjal itu hanya bawa fitnah dan kesesatan,” bantah Nur Sayang.

“Dari dulu mereka mahu pemimpin yang sempurna daripada kalangan kaum mereka. Apabila Nabi Isa turun, mereka rasa Nabi Isa tak sempurna sebab tak ada bapa. Apabila Nabi Muhammad dipilih jadi Rasul, mereka rasa Nabi Muhammad tak sempurna sebab bukan daripada kalangan Bani Israel. Jadi, mereka masih menanti pemimpin terakhir yang kononnya sempurna itu.”

“Tapi takkan mereka nak mengaku Dajjal itu pemimpin mereka. Bukankah Dajjal itu cacat? Lagilah tak sempurna.” Nur Sayang mencebik.

“Itu sebab Konsortium mahukan kajian abang. Untuk cantikkan Dajjal.”

Dr. Ehsan terkenangkan penyelidikannya. Kajian sel stem dan pembedahan plastik yang asalnya bertujuan untuk menyembuhkan kakinya yang kudung itu rupa-rupanya telah menarik minat Konsortium.

Nur Sayang menghela nafas dalam-dalam. Jawapan Dr. Ehsan makin menggusarkan dan merisaukan jiwanya.

“Kalau begitu, mereka tentu cari kita kalau mereka tahu kita selamat. Jadi, abang nak sambung kajian abang itu?”

Dr. Ehsan menggeleng.

“Abang belum fikir lagi. Abang sedang fikir apa kita nak buat dalam masa terdekat ini? Keselamatan kita lebih penting. Konsortium tak akan diam saja bila mereka dapat tahu Dr. Stein dan Goldberg hilang. Dan mereka tak akan biarkan kita terlepas. Mereka ada di mana-mana.”

“Minta dijauhkan dari segala bahaya itu, bang. Nur dah serik.”

Nur Sayang merasa seram sejuk apabila mengenangkan seksaan yang mereka alami semasa berada dalam tahanan Konsortium. Apabila teringat akan betapa kejam dan tidak berhati perutnya Jeneral Zuckermann hingga Dr. Ehsan kehilangan kaki kiri, tubuhnya menggigil tanpa dapat dikawal.

Dr. Ehsan memaut bahu Nur Sayang dan melentokkan kepala isterinya ke dada. Tangan dilingkarkan memeluk isteri yang menggigil itu.

“Kering darah abang masa sayang hampir-hampir kena water boarding. Abang tak mahu lalui saat-saat yang mencemaskan itu sekali lagi.”

“Nur pun takut juga, bang.” Bertambah gigil Nur Sayang.

“Sayang tahu apa yang mereka mahu abang lakukan ke atas diri sayang?”

Nur Sayang menggeleng.

“Konsortium mahu jadikan sayang sebagai bahan uji kaji abang. Bayangkan seorang suami yang perlu buat pembedahan plastik ke atas isterinya. Tentu dia tak mahu pembedahan itu gagal, kan? Suami mana yang mahu isterinya cacat di tangan sendiri? Sayanglah yang dijadikan jaminan supaya abang akan jalankan penyelidikan yang terbaik. Demi sayang, abang tak boleh gagal. Lepas semua berjaya, mereka akan bunuh kita.”

Bulu roma Nur Sayang tegak berdiri mendengar kata-kata Dr. Ehsan. Nampaknya, Dr. Ehsan sudah berfikir semasak-masaknya apabila menolak tawaran kerjasama dengan Konsortium. Lebih baik mati menentang Konsortium daripada mati sebagai pembelot.

Ketika itu suara Qamarain kedengaran dari dalam. “Tak mahu masukkah? Tak elok berembun. Mak budak itu nanti masuk sejuk.”

Masuk sejuk? Apa benda ‘masuk sejuk’? Muka Dr. Ehsan berkerut. ‘Masuk sejuk’ tiada dalam istilah perubatan. Tidak ada juga dalam istilah Bahasa Kantonis, bahasa ibundanya. Belum sempat Dr. Ehsan bertanyakan makna ‘masuk sejuk’, Nur Sayang sudah menjerit.

“Tak apa, ibu. Tak sejuk pun.” Nur Sayang mendongak memandang muka Dr. Ehsan. “Tak apakah, abang?”

Dr. Ehsan tunduk memandang wajah Nur Sayang. Pelik dengan soalan isteri. “Tak apa, apa?”

“Kita tinggal sini? Dengan ibu? Nanti kita tak ada privacy,” Nur Sayang berbisik.

Dia sudah terbiasa hidup berdua dengan Dr. Ehsan di Mesir. Kini apabila ada ibunya, dia risau jika Dr. Ehsan merasa kehilangan kebebasan peribadi itu.

“Abang tak kisah. Asalkan sayang ada di samping abang,” jawab Dr. Ehsan perlahan.

“Memanglah abang tak kisah. Dari dulu abanglah menantu kesayangan dia.” Nur Sayang ketawa.

“Pikat ibu mertua lagi senang daripada pikat anaknya, tahu!” ujar Dr. Ehsan sambil ketawa.

Dia merangkul Nur Sayang lebih erat, melindungi isteri daripada angin malam. Menghangatkan tubuh yang kedinginan. Nur Sayang menarik nafas damai. Apabila berada di samping suami, dia merasa selamat. Dia tahu bahawa Dr. Ehsan akan sentiasa melindungi dirinya.

Nur Sayang mengimbau jauh. Lelaki yang bergelar suami itu pernah dibenci. Dia pernah sengaja melewat-lewatkan perkahwinan mereka dengan perangainya yang menyakitkan hati. Namun, Dr. Ehsan tidak pernah berubah. Masih setia mengejar cintanya.

Rugi masa kerana tidak berkahwin awal. Rugi perasaan kerana walaupun Dr. Ehsan seorang lelaki yang serius, tapi dia seorang lelaki yang bertanggungjawab. Jika dia tidak menolak lamaran kali pertama Dr. Ehsan, mungkin lelaki itu tidak ke Gaza. Mungkin tidak berjumpa dengan Jeneral Zuckermann. Mungkin tidak kehilangan kaki. Mungkin tidak menjalankan kajian sel stem. Mungkin tidak akan terjebak dengan Konsortium jahat itu. Terlalu banyak kemungkinan yang sudah terlambat untuk berpatah balik.

Mengenangkan perihal misi kemanusiaan ke Gaza yang disertai oleh Dr. Ehsan membuatkan Nur Sayang teringatkan sesuatu. Dia mendongak lagi.

“Abang, masa Nur kena culik dengan jeneral keparat itu, dia ada sebut pasal Arielle dengan abang.”

Ding! Ding! Ding!

Loceng amaran berbunyi dalam minda Dr. Ehsan. Isterinya sudah masuk ke topik bahaya. Jika tidak dijawab dengan betul, boleh mencetuskan perang. Nur Sayang melepaskan diri daripada pelukan Dr. Ehsan. Kini, dia menatap wajah suaminya. Mukanya serius.

“Nur cemburu!”

“Abang tahu.”

Dr. Ehsan tersenyum dan mengangguk. Dia merenung ke dalam bebola mata Nur Sayang. Suka apabila isteri cemburu. Orang selalu kata, cemburu tanda sayang. Nur Sayang menarik muka masam.

“Ala, itu cerita lama. Tak payahlah nak ingat-ingat.”

Dr. Ehsan bersahaja membalas. Dia menarik isterinya ke dalam pelukannya semula. Nur Sayang terdiam sambil mengingati perangai jual mahal yang menjengkelkan. Dia membetulkan kedudukan agar lebih selesa.

“Terima kasih, bang. Sebab terima Nur dan setia pada Nur. Walaupun dulu Nur jenis tak reti hormat orang. Nur tak hormat abang sebagai penyelia Nur. Nur kasar, sombong dan ego. Abang pernah gelar Nur ‘Islam celup’. Walaupun perangai Nur teruk sangat, abang masih nak pada Nur.”

“Tahu tak apa,” jawab Dr. Ehsan lega.

“Teruk betul Nur dulu, kan? Ada masalah saja, lari. Cakap pun bukan main kasar,” kata Nur Sayang dengan rasa bersalah. Dua kali dia melarikan diri. Semuanya gara-gara Dr. Ehsan.

“Hmm, teruk jugaklah.”

Dr. Ehsan tersenyum senget. Teringat betapa paniknya dia apabila Nur Sayang melarikan diri sehari sebelum hari pernikahan mereka.

“Kalau waktu boleh diputar balik, Nur nak jadi gadis yang jatuh cinta pandang pertama pada abang,” Nur Sayang berbisik.

“Hmm.”

Dr. Ehsan meletakkan dagunya di atas kepala Nur Sayang.

“Kalau waktu boleh diputar balik, Nur nak terus terima lamaran abang kali pertama. Tak tolak-tolak dah.”

“Hmm …”

Suasana itu begitu mendamaikan.

“Kalau waktu boleh diputar balik, Nur nak jadi gadis yang lemah-lembut.”

Dr. Ehsan menegakkan kepala. “Jangan! Abang tak nak isteri yang lembut sangat. Tak thrill. Lagipun, siapa nak selamatkan abang nanti? Abang suka heroin yang kental.”

Nur Sayang ketawa. “Aha, betul juga itu. Sama-sama.”

Nur Sayang mendongak dan menjawab ucapan ‘terima kasih’ yang belum dituturkan oleh suaminya. Dr. Ehsan turut ketawa.

“Terima kasih, sayang.”

Nur Sayang mengeluh bahagia.

“I always be there to protect you, with my life, if I must.” bisik Dr. Ehsan.

“Hmm, rasa macam tak nak bangun. Nak macam ini sampai bila-bila.”

Nur Sayang terasa bagaikan berada di awang-awangan. Degupan jantung Dr. Ehsan mengalunkan irama cinta. Jiwanya tenang. Hilang segala cemburu dan kurang yakin. Konsortium dan Jeneral Zuckermann dilupakan.

“Hmm …” Dr. Ehsan juga tidak mahu melepaskan isterinya.

“Tak ada nyamukkah?” Suara Qamarain memecah sunyi.

“Anti-klimaks betul,” Nur Sayang bersungut perlahan.

Dr. Ehsan ketawa. “Jom, sambung di dalam. Dah lewat sangat ni. Memang patut pun ibu risaukan kita. Nanti masuk sejuk.”

Nur Sayang turut ketawa. Dia bangun dan menarik tangan Dr. Ehsan agar turut berdiri bersama-samanya. Mereka berpimpinan tangan masuk ke dalam rumah. Qamarain terus mengunci pintu balkoni dengan senyuman tidak lekang dari bibir. Hatinya tenang kerana anak dan menantunya sudah berada di depan mata.

~ ~ ~

 

Laut Mediterranean

Dr. John Stein terjaga apabila terasa rusuknya seperti dicucuk sesuatu. Dengan mata yang berat, dia memandang ke atas. Mula-mula kabur. Setelah mengerdipkan mata beberapa kali, baru terang penglihatannya.

Dr. Stein ternampak makhluk di hadapannya. Makhluk itu berbulu lebat. Dia tidak pasti sama ada makhluk itu sedang berhadap dengannya atau membelakanginya. Depan dan belakang makhluk itu semuanya bulu. Namun, dia tahu makhluk itu bernyawa kerana makhluk itu bergerak-gerak dan ada bunyi menderam yang terbit dari dalam bulu.

Dr. Stein menjerit ketakutan dan bingkas duduk. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia terasa takut. Dia mendongak memandang makhluk itu dengan mata yang tidak berkelip.

Mendengar jeritan Dr. Stein, Micheal Goldberg bingkas bangun. Dia juga nampak makhluk pelik itu. Dia mengesot ke belakang, menjarakkan diri dari makhluk tersebut. Mulutnya melopong kerana jeritannya tidak terkeluar.

“Siapa kalian?” Tanya makhluk itu dengan kasar dan kuat.

Mula-mula Dr. Stein terkejut kerana makhluk itu boleh bercakap dalam bahasa yang dia faham. Hilang rasa takutnya. “Kau boleh berkata-kata?”

Goldberg masih membatu. Yang bergerak hanya kelopak mata, terkebil-kebil.

“Siapa kalian?” Makhluk itu bertanya lagi. Kali ini lebih kasar dan disertai bunyi menderam.

“Saya Dr. John Stein. Dia, Michael Goldberg,” jawab Dr. Stein setelah rasa berani mula terbit dalam diri. “Kau siapa? Bigfoot?”

Makhluk itu tidak mengiakan mahu pun menidakkan tekaan Dr. Stein.

“Bagaimana kalian boleh berada di sini?”

“Kapal terbang yang kami naiki hilang. Tinggal kami berdua saja,” jawab Dr. Stein. Dia berdiri mengadap makhluk itu. Dia memandang Goldberg yang masih duduk dengan ketakutan. Dia menarik Goldberg agar berdiri di sampingnya.

“Burung besar itu?”

Dr. Stein terkedu sebentar. Makhluk aneh itu menggelar kapal terbang sebagai ‘burung besar’. Satu perumpamaan yang primitif. Ini menambahkan keyakinan bahawa mereka sudah berada dalam dimensi lain. Bagi menjawab soalan makhluk itu, Dr. Stein mengangguk saja.

“Kau ni siapa sebenarnya?”

“Aku ialah apa yang kau sangkakan,” kata makhluk itu. Suaranya kedengaran keluar dari celah-celah bulu lebat yang menutupi seluruh tubuh makhluk tersebut.

Dr. Stein cuba mengingati. Dia memetik-metik jari seolah-olah perbuatan itu boleh memetik maklumat daripada kotak memorinya. Dia mengesyaki sesuatu.

“Sudah berapa lama kau berada di sini?”

“Beribu-ribu tahun.”

“Kenapa kau berada di sini? Siapa yang hantar kau ke sini?”

“Aku diamanahkan untuk menjaga satu-satunya tahanan di pulau ini,”

“Siapa tahanan kau?”

“Jika tidak disebabkan aku diperintahkan oleh Allah untuk menjaga tahanan itu, sudah pasti dia aku bunuh! Tapi aku taat pada perintah Allah, walaupun aku tahu tahanan aku itu satu fitnah terbesar yang akan mendatangi manusia.” Makhluk itu menderam.

“Ah! Aku tahu siapa kau! Ya. Kau al-Jassassah, bukan? Aku tahu aku betul. Dan tahanan kau ialah Tuan Besar, bukan?” Dr. Stein menunjuk-nunjukkan jari telunjuknya ke arah makhluk itu dengan aksi teruja dan yakin.

“Aku tak tahu siapa yang kau maksudkan Tuan Besar,” jawab makhluk itu dengan satu deraman yang penuh kebencian.

“Tuan Besar masih di sini?” Dr. Stein menukar cara bertanya. Dia semakin teruja.

“Aku tidak diperintahkan untuk menjawab soalan itu.”

“Kalau macam itu, boleh kau bawa kami jumpa dengan tahanan kau itu?” Keterujaan Dr. Stein melebihi perasaan takutnya.

“Aku tak fikir itu satu perkara yang selamat, bos. Apa kata jika dia bunuh kita dan jadikan kita makanannya?” Bantah Goldberg yang sejak tadi mendiamkan diri. Dia memandang makhluk berbulu dengan perasaan cuak.

Dr. Stein mendekatkan mulutnya ke telinga Goldberg sambil berbisik. “Diamlah! Aku yakin dia ni al-Jassassah, penjaga Dajjal. Dajjal itu Tuan Besar Israel. Inilah peluang kita untuk berkenalan dengan Tuan Besar. Kita boleh dilantik jadi orang kanannya. Kau tak mahu jadi berkuasa dan kaya-raya?”

Goldberg menggeleng. Matanya dibeliakkan kepada Dr. Stein.

Makhluk itu menderam. “Kau tak boleh jumpa dengan tahanan itu.”

Dr. Stein mengerut kening. “Kenapa tidak?”

“Aku tak diperintahkan untuk bawa kau berjumpa dengan orang paling jahat itu.”

“Siapa perintahkan kau?” Dr. Stein memandang sekeliling. Dia tercari-cari ‘tuan’ yang memberi perintah.

“Allah.”

“Kenapa Allah tak benarkan kau bawa kami jumpa tahanan itu?”

“Aku hanya menurut perintah Allah. Aku tak akan bersoal jawab dengan Allah. Allah perintah, aku turut,” jawab makhluk itu dengan bunyi menderam yang semakin dalam.

Goldberg semakin takut. Dia menyangkakan bila-bila masa sahaja makhluk berbulu akan menyerang Dr. Stein yang degil itu. “Bos, sudahlah. Dia tak nak bawa kita jumpa tahanannya, kita jangan paksa. Nanti dia bunuh kita kalau kita paksa.”

Makhluk itu memusingkan tubuh menghadap Goldberg.“Aku diharamkan membunuh manusia.”

Dr. Stein berang. Dia mencekak pinggang dan berhadap dengan makhluk itu. “Bawa aku jumpa Tuan Besar!”

Ketika itu Goldberg menerkam Dr. Stein dari tepi. Dr. Stein jatuh terlentang di atas pasir pantai. Goldberg jatuh terduduk di atas Dr. Stein. Tanpa berlengah, Goldberg terus menumbuk muka dan kepala Dr. Stein bertubi-tubi.

“Aku kata tak payah jumpa Tuan Besar, tak payahlah! Disebabkan obsesi kau, kita berada di sini. Kerana kegilaan kau, kita akan dibunuh oleh makhluk itu. Sebelum dia bunuh aku, biar aku bunuh kau dulu!”

Terteleng-teleng kepala Dr. Stein ditumbuk Goldberg. Apabila Goldberg menumbuk sebelah kanan, kepala Dr. Stein terteleng ke kiri. Apabila ditumbuk sebelah kiri, kepala Dr. Stein terteleng ke kanan. Dr. Stein tidak ada peluang untuk melepaskan diri kerana berat badan Goldberg memakunya ke bumi.

“Inilah manusia. Suka bergaduh sesama sendiri. Suka melakukan kezaliman terhadap diri sendiri.”

Makhluk berbulu menderam-deram dengan kuat sebelum meninggalkan Goldberg dan Dr. Stein yang masih bergelut. Kata-kata sinis makhluk itu langsung tidak terkesan oleh Goldberg. Dia mencekik leher Dr. Stein. Tiada apa yang difikirkan selain daripada menamatkan nyawa Dr. Stein.

Dr. Stein meronta-ronta, cuba mencari nafas. Tenggoroknya terasa hampir patah. Dengan suara yang dalam dan tersekat-sekat, dia cuba bersuara.

“Kalau … aku …mati, kau … tinggal … seorang. Dengan … makhluk … itu.”

Goldberg terkedu. Betul juga kata Dr. Stein. Dia melonggarkan genggaman tangan pada leher Dr. Stein. Dengan pantas dia mengalihkan tubuhnya dan membaringkan diri di sebelah Dr. Stein. Dia terlentang merenung langit biru dengan tercungap-cungap. Dr. Stein terbatuk-batuk. Dia menggosok-gosok leher bagi menghilangkan sakit. Sambil itu, dia juga merenung langit biru.

“Kau rasa makhluk itu akan datang balik, tak?”

Suara Dr. Stein menjadi serak akibat cekikan Goldberg. Namun, dia tidak menyimpan dendam terhadap lelaki yang hampir membunuhnya. Lagipun, apa pilihan yang dia ada? Hanya Goldberg yang menemani.

“Entahlah. Aku tak nak bersemuka dengan makhluk itu lagi. Tak tahu muka dia yang mana satu. Sangat menyeramkan. Tapi kenapa kau yakin tahanan makhluk itu ialah Tuan Besar?”

“Semua maklumat yang diberikan memang tepat dengan apa yang pernah dikatakan oleh Nabi Muhammad tentang penjaga Dajjal.”

Goldberg terdiam.

“Aku mesti jumpa Tuan Besar Israel.”

Dr. Stein mengulanginya. Dia bangun dan menarik lengan Goldberg agar turut berdiri bersamanya. Dia mahu meneroka pulau itu. Dia yakin benar Dajjal masih berada di situ.

“Jom, kita keliling pulau ini. Cari kalau-kalau ada penumpang lain yang terselamat.”

 

3 thoughts on “Fugitif – Bab 2

  1. Syok2 baca.x sabar nk baca. Bnyk ilmu agama yg saya tak tahu terdpt dlm ni.. Tentang dajjal.. Rupanya puak yahudi suka ngan dajjal.. Kita lak menanti kedtgan imam mahdi..

  2. Bukan sedara novel biasa…penuh dengan unsur suspen yang mengajak minda agar berfikir….dan sarat dengan ilmu.

  3. Sekadar*

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *