Posted on

Fugitif – Bab 3

Nur Sayang keresahan di ruang tamu menanti kepulangan suami dari masjid. Entah berapa kali dia mengerling jam di dinding. Risau. Selalunya Dr. Ehsan akan pulang sebelum pukul sepuluh malam. Tapi sekarang sudah tengah malam dan suaminya masih belum pulang. Ibu yang pergi bersama pun telah pulang dan mungkin sudah lena.

Kerisauan Nur Sayang bersebab. Ini adalah kali pertama suaminya keluar rumah sejak pulang dari Mesir. Itupun terpaksa memakai songkok dan menutup separuh muka dengan selendang Arab agar tidak mudah dikenali. Orang-orang Konsortium ada di mana-mana. Mungkin ada orang Malaysia yang jadi ahli Konsortium. Siapa tahu?

Sesekali, matanya terpaku pada skrin televisyen. Dia tekun mengikuti berita yang disampaikan. Matanya kalih memandang pintu. Mengharapkan si suami muncul di muka pintu. Ada berita hangat yang mahu diceritakan.

Nur Sayang terdengar derapan tapak kaki. Belum sempat kedengaran bunyi loceng, dia sudah membuka pintu rumah. Lelaki yang berkain pelikat, berbaju Melayu, bersongkok dengan selendang Arab selempang di bahu itu membuatkan degupan jantungnya meloncat-loncat.

‘Hensem pulak suami aku malam ni ya,’ Namun, lain pula bicara yang keluar. “Kenapa abang balik lambat?”

“Tadi imam ajak ngeteh. Seronok sangat dia dengar abang cerita pasal Palestin sampai tak sedar dah larut malam.”

Dr. Ehsan membuka kasut. Nur Sayang memerhatikan sahaja.

“Kenapa tak telefon?”

“Bateri habis.”

Hai, senangnya jawapan. Buat apa bawa telefon yang hampir kehabisan bateri ke masjid? Buat penuh kocek seluar saja. Bukan boleh jawab telefon masa solat pun.

“Kenapa dia ajak abang ngeteh?”

“Dia nampak abang solat sunat. Dia tegur. Katanya abang boleh solat duduk. Lepas itu dia tanya pasal kaki abang. Abang pun ceritalah.”

“Abang cerita semua? Tentang Konsortium bagai?” Nur Sayang cuak.

“Abang tak cerita pasal Konsortium. Dia tanya pasal kaki, abang ceritalah bagaimana abang hilang kaki. Sampai situ saja.” Dr. Ehsan memahami kerisauan tersebut. “Diana pun ada tadi.”

Dr. Ehsan membuka songkok dan meletakkannya di atas meja seraya melurutkan rambut, menghalau hawa yang berkuap di kepala.

“Siapa Diana?”

Nur Sayang pelik. Dr. Ehsan menyebut nama tersebut seolah-olah kenal benar dengan empunya namanya. Kawan lamanyakah? Atau kawan lama yang berkirim salam? Seingatnya, dia tidak ada kawan bernama Diana.

“Anak imam.” Dr. Ehsan menyengih. Mendengar nama perempuan lain di bibirnya, tentu Nur Sayang sudah terlupa akan Konsortium.

‘Hensem betul dia bila rambut pacak-pacak.’ Gumam Nur Sayang sambil memerhati setiap gerak-geri suaminya. “Anak Tok Imam itu dah kahwin?” Lain yang difikir, lain yang ditanya.

“Belum. Pakwe pun tak ada lagi. Lemah lembut dan manja orangnya.” Dr. Ehsan sengaja mencucuhkan bara cemburu. Dia memerhati wajah si isteri dengan seronok. Nampak sangat isterinya sudah berubah warna hijau.

“Abang pun apa lagi, berlagak herolah, kan?”

Nada suara naik satu oktaf. Nur Sayang sudah tidak dapat menyembunyikan cemburu. Dia mengekori Dr. Ehsan masuk ke bilik.

“Dia tak minat dengar cerita abang. Dia tidur separuh jalan. Allahu akbar! Tidur pun comel.”

Dr. Ehsan mengemam senyuman. Dalam hati, dia merasa senang dan terhibur dengan telatah Nur Sayang. Lalu, ditambah lagi petrol pada bara yang kian berapi.

“Dah nak balik, baru dia terjaga. Terus dia cium pipi abang.”

Dr. Ehsan tersenyum dengan mata terpejam, yang seolah-olah sedang membayangkan kenangan manis itu. Dia menggosok lembut pipinya sendiri.

“Apa?”

Tempikan Nur Sayang mengocak keheningan malam. Dr. Ehsan masih mengemam bibir, menahan diri daripada ketawa. Umpannya sudah mengena.

“Abang bagi perempuan bukan mahram cium pipi abang? Abang ni pun, takkan dah tak ingat halal haram? Sebelum kita kahwin, itu yang abang jaga sangat. Itu sebab abang ajak kita kahwin cepat-cepat. Supaya kita tak terjerumus hubungan yang terlarang, kata abang. Supaya kita tak hampiri zina, kata abang.

“Nak cepat sangat kahwin, sampai abang sanggup tipu ibu. Sanggup tipu Nur. Tapi malam ini boleh pula abang bagi perempuan yang baru abang kenal cium pipi abang. Depan bapa dia itu. Tok Imam pula itu. Nasib baik bapa dia bukan Tok Kadi. Nasib baik Tok Siak dan Tok Bilal tak jadi saksi. Abang ni dah buang tabiatkah?”

Nur Sayang berleter tanpa henti. Habis semua ahli jawatankuasa masjid disebutnya. Dr. Ehsan ketawa sahaja. Menambahkan geram isterinya. Tawanya bertambah galak apabila melihat Nur Sayang menjegilkan mata dan memeluk tubuh.

“Anak imam itu baru empat tahun, sayang. Imam itu belumlah berpangkat ’tok’. Mungkin dia lebih muda daripada abang. Orang gelar dia Imam Muda.”

Nur Sayang termangu. Malu kerana cepat sangat melenting. Dia terasa dipermainkan. Tapi dia tak mahu mengalah. Mana boleh biarkan dirinya ditipu lagi?

“Abang tipu Nur ya? Abang memang suka tipu Nur, kan?”

“Abang tak tipu sayang. Semua yang abang cakap itu betul.”

“Tapi abang tak cakap yang sebenarnya. Abang sembunyikan info.” Nur Sayang masih mahu menang.

“Sayang tak tanya, terus nak cemburu. Tapi abang suka. Bukankah cemburu itu tanda sayang?”

Dr. Ehsan melayan karenah isterinya. Hidung Nur Sayang yang merah kerana marah itu dipicitnya.

“Itulah, abang ajak ke masjid, tak nak. Tapi bila abang balik lewat, marah. Bila abang nak borak lama sikit dengan jemaah, cemburu.”

Nur Sayang tersedar bahawa dia telah berprasangka terhadap suaminya. Timbul rasa bersalah. Tapi dia masih tidak mahu mengaku kalah.

“Alah, abang sajalah yang dengar ceramah. Balik nanti abang ajarlah Nur. Ajarkan ilmu agama kepada isteri termasuk dalam nafkah batin, tau abang.”

“Cium sini dan minta maaf.” Dr. Ehsan tersengih dan menunjuk kepada pipi yang dicium Diana.

“Kenapa pula Nur kena minta maaf?”

“Sebab sayang dah bersangka buruk dengan abang.”

“Okeylah. Okeylah.”

Namun begitu, Nur Sayang terasa seperti ada perkara yang belum terluah. Sesuatu yang membuat dia menunggu kepulangan si suami hingga jauh-jauh malam. Tidak semena-mena dia menjerit kecil.

“Ah! Nur dah ingat!”

Dr. Ehsan kehairanan.

“Sambil-sambil Nur tunggu abang balik, Nur tengok tv. Mereka dah jumpa kapal terbang kita yang hilang itu.” Macam mana boleh terlupa hal sepenting itu?

“Jumpa di mana?”

Soft landing dekat Laut Mediteranean.”

“Ada survivor?”

Dr. Ehsan berdebar-debar. Sekiranya Dr. Stein dan Michael Goldberg terselamat, ini bererti mereka masih menjadi buruan Konsortium.

“Tak pasti. Tapi senarai nama penumpang sudah keluar. Kita saja orang Malaysia.”

Dr. Ehsan mengucap panjang. Selagi kes kehilangan kapal terbang itu tidak selesai, hidup mereka tidak tenteram. Tetapi apabila sudah dijumpai, kerisauan lain pula yang timbul. Dia akas memasang televisyen.

Berita yang disampaikan oleh Nur Sayang sedang bersiaran. Kali ini, pemberita itu memaklumkan bahawa semua penumpang kapal terbang tersebut sudah diselamatkan kecuali empat orang:

  1. John Stein, USA
  2. Michael Goldberg, USA
  3. Muhammad Ehsan bin Abdullah, Malaysia
  4. Nur Sayang binti Mohd Salleh, Malaysia.

Dr. Ehsan dan Nur Sayang saling pandang-memandang. Terpampang sudah nama mereka. Ini bermakna seluruh dunia sudah mengetahui identiti mereka. Seluruh dunia sudah tahu bahawa mereka adalah rakyat Malaysia. Tidak sukar untuk orang-orang Konsortium menjejaki mereka. Malaysia ini bukannya besar sangat.

“Apa kita nak buat sekarang, abang?”

Nur Sayang memahami kerisauan pada wajah Dr. Ehsan. Suaminya itu melurutkan rambut seraya bersandar di sofa dengan mata terpejam. Sempat dia memaut bahu Nur sayang ke dalam dakapannya. Mencari kekuatan bersama-sama.

“Hmm, masalah ini makin rumit.”

~ ~ ~

 

Laut Mediterranean

Michael Goldberg dan Dr. John Stein kembali ke tepi pantai. Setelah penat menyusuri separuh pesisiran pulau, mereka berpendapat tiada penumpang lain yang terselamat.

“Hairan betul. Langsung tak jumpa sesiapa. Makhluk itu pun tak ada.”

Dr. Stein menghenyakkan punggung ke tanah. Dia mengesat peluh di dahi. Sebenarnya, dia kecewa kerana tidak bertemu dengan Tuan Besar Israel.

Goldberg mengeluh kecil. “Kita cari manusia, bukan makhluk itu.”

“Esok kita teroka sebelah sana pula.”

Dr. Stein masih tidak berputus asa. Goldberg mula meluat dengan obsesi tersebut. Dia mengutip sebiji batu yang agak besar. Kemudian, dia mengetuk batu itu dengan batu yang lain. Serpihan batu-batuan bertaburan. Kelakuannya itu menarik rasa ingin tahu Dr. Stein.

“Kau buat apa itu?”

“Aku nak buat tombak. Untuk tangkap ikan.”

“Tangkap ikan?”

“Aku tak nafikan, sebagai Sang Perancang untuk Konsortium, kau memang bijak. Tapi di sini, kau bodoh. Kita tak tahu berapa lama kita akan terkandas di sini. Walau apa pun, kita kena makan, bodoh. Aku nak buat tombak untuk tangkap ikan.”

Goldberg merenung Dr. Stein yang masih berlunjur tidak berbuat apa-apa. Air muka Dr. Stein berubah. Marah kerana diperbodohkan oleh Goldberg yang dahulu merupakan orang suruhannya. Sebelum sempat dia membalas kata-kata Goldberg, perutnya berbunyi kuat. Lapar. Sejak terkandas di pulau itu, mereka belum makan apa-apa lagi.

“Pergi cari kayu yang panjang dan apa-apa yang boleh guna untuk buat tali,”

Goldberg memberi arahan dan Dr. Stein yang kelaparan terpaksa menurut. Amarah dilupakan seketika. Dia bangun untuk melakukan apa yang disuruh. Tidak lama kemudian, dia kembali dengan seranting pohon dan kulit pokok. Goldberg terus mengambilnya untuk mengikati serpihan batu yang terbentuk seperti mata tombak yang dihasilkannya.

“Di dunia kita, aku hormat kau sebagai orang yang merancang semua kejahatan Konsortium. Tapi di sini, kau dan aku sama saja. Kau dan aku kena sama-sama cari makan untuk hidup. Kau dan aku kena sama-sama cari jalan pulang ke dunia kita. Faham?”

Dr. Stein diam. Dia merenung laut. Sepanjang menyusuri separuh pesisiran pantai pulau itu, dia sudah terfikir sesuatu yang pelik. Dia kurang mendengar bebelan Michael, sebaliknya apa yang dilihat berlegar-legar dalam fikiran.

“Michael, masa kita keliling pulau tadi, ada tak kau nampak apa-apa di lautan?”

“Tak ada.” Goldberg menguatkan ikatan tombaknya.

“Pelik, bukan? Langsung tak nampak apa-apa. Tak nampak serpihan pesawat. Tak nampak apa-apa aktiviti pencarian. Tak jumpa seorang survivor pun. Seolah-olah kita dalam dimensi lain.”

“Dimensi lain? Maksud kau, kita dah masuk dalam dimensi Tuan Besar Israel, begitu? Lupakanlah obsesi kau itu. Fokus pada survival.”

Dr. Stein hanya melemparkan pandangan jauh ke tengah-tengah lautan.

“Mari, ikut aku tangkap ikan!”

Goldberg berdiri dengan sebuah tombak di tangan. Dr. Stein mengikuti Goldberg mengharung air laut hingga ke paras lutut. Dr. Stein terasa pelik. Sekawanan ikan kecil berenang-renang mengikut alunan ombak.

“Lepas ini, kita kena buat jaring pula,” Goldberg membuat usul.

Tidak lama kemudian, seekor ikan yang agak besar mengejar ikan-ikan kecil itu. Dengan kecekapan tersendiri, Goldberg menombak ikan besar itu. Tepat mengena belakang kepala. Ikan besar itu menggelupur. Goldberg menjerit girang.

“Jom, kita balik pantai.”

Dr. Stein memandang Goldberg dengan kagum. Tanpa Goldberg, tentu dia tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Selama ini, tugasnya hanya merancang untuk menakluki dunia. Orang lain yang dikerahkan untuk menjalankan rancangannya.

Dr. Stein melihat saja Goldberg memasang pancang dan menghidupkan api dengan mengetuk dua batu sebesar penumbuk. Goldberg mencucuk sebatang kayu di tengah-tengah badan ikan bagi tujuan memanggang.

“Mana kau belajar tangkap ikan dan nyalakan api cara kuno tadi?”

Dr. Stein memandang Goldberg sambil mengunyah ikan panggang. Goldberg cuma tersenyum sinis sambil merenung tajam Dr. Stein.

“Dalam program brainwashing Konsortium. Program yang kau buat. Tapi kau sendiri tak tahu apa ada dalam program itu, kan? Yang kau tahu, duduk dalam bunker bawah tanah, merancang.”

“Sudah itu kerja aku. Gelaran aku pun ‘Sang Perancang’.”

Dr. Stein mempertahankan diri. Dia menjilat jari-jari, melicinkan sisa makanan. Perut yang sudah penuh membuatkan matanya semakin berat. Tambahan pula, dia kepenatan meninjau pulau dan menemani Goldberg menombak ikan. Dia menguap besar.

“John Stein!”

Satu suara kedengaran. Keras dan garau. Dr. Stein bingkas bangun. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Tiada siapa yang berada berhampiran dengannya. Mana Goldberg? Dia sedikit cemas. Baru sebentar tadi Goldberg di sebelahnya, sama-sama menikmati ikan panggang. Sekarang dia keseorangan.

“John Stein!”

Suara itu kedengaran begitu dekat. Dr. Stein memandang sekeliling. Tiada sesiapa. Juga tiada langsung bunyi burung atau tiupan angin. Desiran ombak pun tidak kedengaran.

“Siapa tu?” Dr. Stein bertanya keras. “Michael! Kau jangan nak prank aku. Tak ada untungnya pun. Kita berdua saja di sini. Tak ada siapa nak tengok pun.”

“Kenapa kamu mahu jumpa aku?”

Dr. Stein tercari-cari kelibat Goldberg. Tiada. Dia kehairanan. Siapa pula yang dia hendak jumpa? Suara itu pula bukan suara Goldberg. Dia semakin panik.

“Siapa kamu? Munculkan diri!”

“Akulah yang kamu cari-cari itu.”

Suara itu bergema mengisi ruang. Dr. Stein tergamam. Namun, keterujaan mengatasi kejutan tersebut. Dia pantas melilau ke sekeliling, mencari-cari ‘orang’ yang sudah lama ditunggu-tunggu itu.

“Tuan Besar? Kalau tuan ini Tuan Besar, memang saya memang mahu jumpa tuan. Tapi tuan munculkanlah diri, agar saya dapat mengenali tuan.”

Dr. Stein menukar cara percakapan, bagaikan seorang hamba sedang bercakap dengan tuannya. Dia tertunduk-tunduk, seolah-olah ‘tuannya’ itu ada di hadapan.

“Aku hanya boleh muncul dalam mimpi kau.”

“Jadi saya sedang bermimpi?”

“Ya.”

“Apa yang boleh saya bantu? Katakan saja. Saya akan turutkan,”

Dr. Stein terkulat-kulat. Patutlah Goldberg tidak ada dalam mimpinya. Keterujaan Dr. Stein seperti tidak dapat dibendung. Malah, dia lega kerana Goldberg tidak ada bersama untuk berkongsi detik-detik ‘bertemu’ dengan Tuan Besar ini.

“Aku ada banyak soalan.”

“Tanyalah, Tuan Besar.”

Dr. Stein mahu menjadi orang kesayangan Tuan Besar. Orang paling kanan Tuan Besar. Orang yang diberi paling banyak anugerah oleh Tuan Besar. Orang yang diberi kuasa oleh Tuan Besar. Keinginan itu terserlah pada nada suaranya.

“Beritahu aku tentang pohon-pohon kurma di daerah Baisan.”

Baisan? Biar betul!

Dr. Stein terjeda. Dia menelan liur beberapa kali sambil menyumpah dalam hati. Strategi ‘pecah dan perintah’ Konsortium menyebabkan nama-nama tempat di bawah jajahan mereka ditukar. Sekarang dia tidak tahu secara tepat di mana daerah Baisan.

“Saya tak tahu dengan tepat di mana Baisan. Tapi saya tahu ia adalah satu tempat di dalam negara Jordan.”

Jawapan itu hambar. Keterujaan Dr. Stein menurun. Soalan pertama pun dia tidak boleh jawab. Selepas ini tentu soalan yang lebih susah. Terasa cita-citanya mula terlepas perlahan-lahan daripada genggaman. Dengusan suara itu seolah-olah mengiyakan telahan tersebut. Namun, Dr. Stein tidak berputus asa.

“Apa yang Tuan Besar nak tahu tentang Baisan?”

“Adakah pokok-pokok kurma di sana masih berbuah?”

Agakannya tepat. Soalan ini lebih susah. Kalau tidak tahu di mana Baisan, bagaimana mahu tahu sama ada kurmanya masih berbuah? Dr. Stein menelan liur sambil akalnya menyusun logik.

“Saya kurang pasti, Tuan Besar. Tapi banyak ladang kurma di Jordan sudah tiada. Diganti dengan pembangunan.”

“Tanda kedatangan aku ialah apabila pohon-pohon kurma di Baisan berhenti berbuah. Kau tunggu saja saat itu. Sudah tidak lama lagi.”

Dr. Stein terdiam.

“Beritahu kepadaku tentang tasik Tiberia.”

“Tuan Besar maksudkan Tasik Galilee?”

Suara itu mendengus seolah-olah tidak suka ditanya sebegitu. Dr. Stein cepat-cepat menyambung bicara. Tidak mahu mengulangi kesalahan yang sama.

“Rasanya kami sudah tukar nama Tasik Tiberia kepada Tasik Galilee. Apa yang Tuan Besar mahu tahu?”

“Apakah tasik itu masih ada air?”

“Tasik itu membekalkan air kepada negara Israel. Tapi, airnya semakin berkurangan.” Dr. Stein tanpa segan silu mengakui Israel sebagai sebuah negara yang sah.

“Airnya akan habis.”

Dr. Stein mengangguk. Memang diakui, terdapat dua kumpulan manusia yang mempunyai perancangan terhadap Tasik Galilee. Satu kumpulan mahu agar tasik itu cepat kering demi menyegerakan kemunculan Tuan Besar Israel. Satu kumpulan lagi terdiri daripada pendita ortodoks Yahudi yang tidak mahu tasik itu kering demi melengahkan kemunculan Dajjal.

“Beritahu aku tentang mata air Zugar.”

“Tuan Besar, mungkin nama mata air itu sudah ditukar.”

Sekali lagi Dr. Stein menyeranah Konsortium dalam diam. Soalan-soalan tersebut ada terkandung dalam hadis Nabi Muhammad, rasul terakhir orang Islam. Dia sedikit kesal kerana tidak mengkajinya betul-betul. Sepatutnya dia mampu mengenalpasti kedudukan tempat-tempat arkaid tersebut pada zaman ini.

“Beritahu kepadaku tentang nabi yang tidak boleh menulis dan membaca itu. Apa yang telah dicapainya? Apakah dia masih hidup?”

“Namanya Muhammad. Dia telah menyampaikan ajaran Islam. Agama itu telah tersebar ke seluruh dunia. Tapi dia telah wafat, Tuan Besar.”

“Ke seluruh dunia? Bukan di tanah Arab sahaja? Berapa ramai pengikutnya?”

“1.6 bilion, Tuan Besar. Tapi daripada jumlah itu, tak ramai yang mengikut ajarannya seratus peratus. Ramai yang telah disesatkan oleh doktrin dan sistem yang kami cipta.” Dr. Stein menjawab dengan pantas.

“Sesungguhnya adalah lebih baik bagi manusia untuk mentaatinya. Aku akan dibenarkan keluar tak lama lagi. Apabila aku keluar, aku akan singgah di setiap negeri selama empat puluh hari kecuali di Makkah dan Thaibah. Kedua-dua negeri itu terlarang bagiku. Setiap kali aku ingin memasuki salah satu daripada negeri itu, maka aku dihadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan sangat tajam. Malah, di setiap jalan yang ada di kota Thaibah terdapat malaikat yang menjaganya.”

“Sekarang Thaibah digelar Madinah, Tuan Besar. Tuan Besar tak perlu bimbang. Kami sudah sediakan sebuah istana putih berdekatan Madinah. Dari istana putih itu, Tuan Besar boleh lihat seluruh kota Madinah. Kami juga akan bantu Tuan Besar rancang strategi untuk masuk ke dalam kota itu.”

Dr. Stein begitu teruja. Suara itu terdiam. Agak lama sepi bertandang hingga mengundang keresahan Dr. Stein.

“Tuan Besar? Tuan Besar?” Dr. Stein memanggil-manggil. “Tuan Besar! Saya ada banyak soalan lagi. Jangan pergi dulu!”

Goldberg merapati Dr. Stein yang terjerit-jerit. Dia merenung wajah Dr. Stein. Kelihatan Dr. Stein sedang nyenyak tidur.

“Stein?”

Dr. Stein masih terjerit-jerit memanggil ‘Tuan Besar’. Goldberg mencuit Dr. Stein dengan hujung kakinya.

“Stein?”

Dr. Stein terjaga. Terpisat-pisat dia memandang ke sekeliling. Dia melihat Goldberg sedang merenungnya. “Mana Tuan Besar?”

“Apa yang kau merepek ni? Kau mengigau. Aku kejutkan kau.”

“Haish! Kenapa kau kejutkan aku?”

“Habis tu, nak biarkan kau terjerit-jerit? Nak tarik perhatian makhluk itu?”

“Bodoh! Aku sedang bercakap dengan Tuan Besar.”

Dr. Stein berang kerana merasakan Goldberg telah mengganggu perbincangan dengan Tuan Besar. Dia tidak pasti entah bila lagi akan ada peluang sedemikian. Goldberg pula meradang apabila dimarahi. Dia memandang Dr. Stein dengan riak tidak percaya. Dr. Stein sudah gila, agaknya.

“Kau bercakap dengan Dajjal? Biar betul!”

“Soalan-soalan yang dia tanya memang sama dengan hadis Nabi Muhammad tentang Dajjal,” Dr. Stein masih melayan amarah kerana dikejutkan daripada tidur.

Goldberg menjungkit bahu. “Kau obses sangat dengan Tuan Besar Israel, sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Lagipun, kau hafal hadis itu, kan?”

“Ini bukan mimpi biasa! Ia sama dengan kata-kata Nabi Muhammad. Kata-kata Nabi Muhammad itu semua benar belaka!” Dr. Stein membentak.

“Ya. Semua orang akui kata-kata Nabi Muhammad itu benar belaka. Yang aku tak akui ialah mimpi kau itu kononnya benar. Eh! Mimpi kau itu hanya obsesi saja.” Goldberg mencemuh.

“Dalam Talmud, Tuan Besar akan dibantu oleh tiga orang kanan. Aku terpilih. Tuan Besar pilih aku jadi salah seorang orang kanannya. Kau tak terpilih, Michael. Aku tahu kau cemburu. Kau jangan nak rosakkan rancangan aku.”

Dr. Stein mula membuat perancangan untuk menghapuskan Goldberg jika impiannya menjadi orang kanan Tuan Besar Israel menjadi kenyataan.

Goldberg mengunci bicara akan perubahan sikap Dr. Stein. Dahulu, Dr. Stein seorang yang sentiasa tenang dan berfikiran jauh. Bukan suka marah-marah dan membentak seperti sekarang. Goldberg menjauhkan diri daripada Dr. Stein. Dia juga mula merangka rancangannya sendiri.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *