Posted on

Teroris – Bab 3

15 November 2005 

Shah Alam, Selangor

 

“Alhamdulillah…” ucap Ustaz Hanif mengakhiri sesi kuliah yang diadakan khas untuk Safwan buat kali kelima pada minggu itu.

Penyampaian Ustaz Hanif begitu jelas. Safwan sedar betapa selama ini dia begitu jauh melupakan Yang Maha Pencipta.  Lima malam berturut-turut Safwan telah mengikuti kuliah itu dengan begitu tekun. Penuh minat.

Semuanya bermula daripada pertemuan dengan Kamal di Old Town White Café di Bangsar. Kawan sekolah menengahnya itu sudah hampir 15 tahun tidak bertemu.

“Hebatlah hang, Safwan. Dengaq cerita dah jadi orang kanan Gabenor Bank Kebangsaan.” puji Kamal berjenaka. Pelat Kedah pekat digunakan apabila bertemu rakan senegeri.

“Tak daklah, Kamal. Kuli gomen saja. Lagipun BKM dah taja aku. Nak tak nak, kenalah kerja kat situ. Hang pun apa kurang. Aku dengaq dah jadi jurutera hebat dah la ni.” balas Safwan, merendah diri.

“Aku kerja kilang saja kat Klang. Samalah kita, kuli saja.” sambut Kamal diiringi gelak-tawa sahabat lama.

Selepas menamatkan pengajian Ijazah Kejuruteraan Kimia di Kanada pada tahun 1997,  Kamal bernasib baik kerana terus ditawarkan kerja di sebuah kilang produk bahan kimia di Klang.

Walaupun dibuang dari Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), Jitra, dia tetap cemerlang di sekolah harian di Baling, Kedah. Dia ditawarkan biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam ke Vancouver, Kanada.

“Anak dah berapa orang, bro? Sorry-lah, kenduri kawin hang pun aku tak dan nak pi.”

“Dah nak masuk dua dah. Lagi empat bulan rasanya. Hang bila lagi nak kahwin, Safwan? Nak kata sengkek, takkan la. Kawan-kawan kita dulu ramai dah beranak-pinak dah.”

“Hehehe… belum sampai seru kot. Sabaq la. Nanti aku kahwin, hang jangan tak mai pulak. Hang kena jadi pengapit aku. Boleh ka?”

“Jangan kata pengapit, nanti aku sponsor satu bas untuk geng kita pi kampung hang kat Kota nu. Hehehe…”

Hampir satu jam bersembang. Setelah dua cawan white coffee habis diminum, barulah Kamal membuka cerita berkenaan niatnya berjumpa Safwan. Dia mengajak Safwan untuk sama-sama mengikuti kuliah tafsir di rumahnya.

“Boleh jugak. Aku pun dah lama tak sentuh bab-bab agama ni. Pukui berapa bro? Ramai ka join?” soal Safwan menaruh minat.

Perasaan malu cuba disembunyikan. Riak mukanya dibaca Kamal. Amat jarang sekali Safwan mengikuti kelas-kelas keagamaan. Dan, walaupun dia ulat buku, buku-buku agama boleh dikira dengan jari terselit di atas rak yang bersusun bersama pelbagai jenis novel, buku motivasi serta buku rujukan berkaitan kerja.

“Lepas Isya’. Dalam pukui 9.30 esok malam. Ala, kita-kita saja. Ok ka?”

“Ok, esok malam kita jumpa.” Ujar Safwan sambil melambai ke arah pekerja kafe.

Masing-masing memesan secawan lagi kopi. Malam masih muda. Tercapai hasrat Kamal untuk menambahkan bilangan ahli kumpulan kuliahnya. Sudah hampir setahun dia mengikuti kumpulan itu bersama isterinya. Tiba masa mengajak kawan rapat meramaikan ahli jemaah.

~ ~ ~

 

Seusai sesi kuliah kelima, fikiran Safwan berkecamuk. Pesanan Ustaz Hanif supaya merahsiakan kuliah tersebut mengejutkan. Pelbagai persoalan diajukan.

Kenapa pula kuliah tafsir al-Quran yang begitu baik itu perlu dirahsiakan? Kenapa tidak diwar-warkan sebagai sebuah seminar ataupun bengkel? Kan lebih ramai cerdik pandai dapat hadir? Malah, Safwan telah menyanggupi untuk menyewa dewan hotel dan menjemput rakan-rakannya untuk sama-sama menimba ilmu yang amat bernilai itu.

“Saya dan para sahabat amat mengalu-alukan semangat saudara Safwan.” balas Ustaz Hanif lembut.

“Tetapi biarlah saudara Safwan hadiri dulu satu sesi akhir hujung minggu ini. Saya pasti, selepas sesi pada pagi Ahad ini, saudara Safwan akan faham kenapa saya minta dirahsiakan perkara ini.”

Kamal mengangguk mengiyakan maksud Ustaz Hanif. Safwan mengerutkan dahi.

So, apa pendapat hang Safwan?” Soal Kamal setelah Ustaz Hanif beredar. Soalan itu disimpan Kamal sejak sesi pertama lagi. Dia perlu bersabar untuk mendengar komentar rakannya.

Safwan mengambil masa untuk menjawab soalan Kamal.

“Sebelum aku bagi pendapat, aku nak berterima kasih dulu kat hang, Kamal. Errr… sebab ajak aku join kuliah ni.”

Tak dak hal la Safwan. Memang dah jadi tanggungjawab aku sampaikan perkara ni kat hang. Seperti pesan Nabi, ‘Sampaikan dariku walaupun sepotong ayat’. Itu yang kita wajib buat Safwan.” Kamal senyum, lega.

“Ok. Sebelum ni, pengetahuan aku tentang al-Quran ni amat sedikit. Walaupun boleh baca, tapi takat tu sajalah. La ni aku dah faham sikit, al-Quran ni bukan setakat baca-baca saja tapi yang paling penting kena faham. Baru boleh amal.” Safwan meluahkan pendapat, umpama mengulang semula pesanan Ustaz Hanif.

“Betoi tu. Lepas ni, hang kena terus berguru dengan Ustaz Hanif. Aku pun dulu sama jugak macam hang. La ni bolehlah sikit-sikit. Cuma yang penting, kita kena faham apa yang kita baca Safwan. Itu yang akan difokuskan selepas ni.”

“Kamal, apa nama jemaah ni?”

Kamal agak terkejut dengan soalan Safwan tapi cepat-cepat dia mencari jalan.

“Aku nak tanya hang balik. Kalau kita nak kembangkan ajaran Islam, perlu ka ada nama kumpulan? Apa nama kumpulan Nabi masa mula-mula dia ajak keluarga dia dan sahabat-sahabat kepada ajaran Islam?”

“Islam?” Safwan menjawab, memandang rakannya. Kamal mengangguk perlahan.

~ ~ ~

Pada hari ahad hujung minggu itu, seawal jam enam pagi Kamal sudah terpacak di depan pintu pagar rumah Safwan. Solat Subuh ditunaikan di surau kawasan rehat Lebuh raya Damansara-Puchong. Kamal memandu ke sebuah rumah banglo dua tingkat di sebuah taman perumahan di Puchong.

Sesi bermula tepat jam tujuh pagi. Safwan bersama-sama sekumpulan 15 lelaki dan 10 wanita pelbagai umur dan latar belakang dikumpulkan untuk program kuliah itu. Bilik kuliah di tingkat atas banglo itu tidak ubah seperti sebuah pusat latihan. Lengkap dengan sistem audio visual. Setiap peserta diberikan sebuah Terjemahan Al-Quran.

LCD skrin di hadapan bilik kuliah dipancarkan.

“SELAMAT DATANG BAKAL PENGGERAK ISLAM”.

Program itu dikendalikan oleh Ustaz Hanif dan seorang lagi yang pertama kali dilihat Safwan iaitu Ustaz Naser. Safwan mengikuti dengan penuh debar dan semangat yang berkobar-kobar. Setiap ayat al-Quran  yang dibaca dan ditafsirkan oleh Ustaz Naser penuh dengan maksud nyata dan tersembunyi. Semuanya dijelaskan secara terperinci.

Buat pertama kali dalam hidupnya Safwan baru benar-benar faham apa itu Islam. Dia menanam azam menggunakan jalan yang ditunjukkan untuk membantu perjuangan menegakkan agama. Membantu ke arah kebangkitan dan mengembalikan kegemilangan Tamadun Islam.

Di akhir sesi kuliah, LCD memancarkan.

“SELAMAT DATANG BAKAL PENGGERAK EMPAYAR ISLAM.”

Jantung Safwan berdegup kencang.

‘Apakah ini yang aku cari selama ini? Kerana inikah kuliah ini perlu dirahsiakan?’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *